suria

Emirates Terbang Ke Delhi Dengan A380

DUBAI: Emirates Airline bersiap sedia untuk menjadi syarikat penerbangan pertama membawa pesawat penumpang terbesar dunia, Airbus A380, ke India.

Penerbangan istimewa Dubai-Delhi pada 15 Julai itu diadakan sempena meraikan pelancaran Terminal 3 Lapangan Terbang Indira Gandhi International (IGI).

Emirates terbang ke Delhi sejak hari pertama operasinya pada 1985, kata Majid Al Mualla, Naib Presiden Kanan Emirates bagi Asia Barat dan India.

"Dua puluh lima tahun berlalu, 10 destinasi dan 184 penerbangan mingguan pastinya mencerminkan usaha dan pelaburan yang membawa kepada jalinan hubungan yang kukuh dengan India," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa. Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu berkata perkhidmatan komersial istimewa pesawat A380 dengan 517 tempat duduk itu akan menawarkan peluang yang datang sekali kepada penumpang bagi merasai pengalaman kemudahan mewah pesawat tersebut.

Pesawat A380 akan beroperasi sebagai EK516 di laluan Dubai-Delhi pada 15 Julai dan akan berada di Lapangan Terbang IGI selama tiga jam sebelum kembali ke Dubai sebagai EK517. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain