suria

Menteri Luar Mexico Lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Mexico Patricia Espinosa akan mengetuai delegasi enam anggota dalam lawatan sehari ke negara ini, esok.

Delegasi itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang malam ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Wisma Putra berkata ia merupakan lawatan pertama Espinosa ke Malaysia dalam kapasiti beliau sebagai presiden Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim PBB ke-16 (COP 16), yang diadakan di Cancun, Mexico mulai 29 November hingga 10 Disember ini.

Ketika di negara ini, Espinosa dan delegasinya dijadual membuat kunjungan rasmi ke atas pemangku Menteri Luar Datuk Mustapha Mohamed di pejabatnya di Putrajaya, 8.30 pagi esok.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kini berada di luar negara atas tugasan rasmi.

Espinosa juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas di pejabatnya di Putrajaya pada 2.30 petang.

"Pertemuan itu dijangka membincangkan isu mengenai perubahan iklim global dan peranan Malaysia serta sumbangan ke arah kestabilan ekosistem," kata kenyataan itu.

Ia juga mungkin menyentuh persediaan penganjuran COP16 di Cancun, Mexico.

Hubungan Malaysia dan Mexico bermula sejak 27 Mac 1974, apabila kedua-dua negara secara rasmi mewujudkan hubungan diplomatik.

Pada 1991, Mexico membuka kedutaannya di Kuala Lumpur manakala Malaysia membukanya di Mexico City setahun kemudian.

Sejak itu, hubungan dua hala kedua-dua negara kekal mesra, dan jumlah dagangan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang memihak kepada Malaysia.

Tahun lepas, jumlah dagangan Mexico dengan Malaysia bernilai sehingga US$4,172.68 bilion.

Sejumlah besar daripadanya ialah barangan dan keluaran Malaysia yang diimport Mexico bernilai US$4.035 bilion pada 2009. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain