suria

Malaysia Gesa D-8 Ubah Pendekatan Lebih Berani

ABUJA: Malaysia percaya sudah tiba masanya Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) membuat keputusan berani bagi menggalakan pembangunan ekonomi serta meningkatkan perdagangan di kalangan negara anggota.

Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay berkata, kumpulan itu gagal mencapai sasaran walaupun terdapat banyak cadangan dan sebilangannya dipersetujui oleh negara anggota.

"Tidak ada apa-apa daripada projek tersebut dilaksanakan dan tidak ada usaha dilakukan untuk mengatasi masalah ini," katanya pada perasmian mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar D-8 ke-13 di Dewan Bankuasi Negara di Asokoro di sini, Selasa.

A. Kohilan berkata, kumpulan itu harus menerima kenyataan bahawa beberapa pendekatan tradisi tidak berkesan dalam usaha mencapai sasarannya.

Menurutnya, D-8 harus berorentasikan perniagaan dan dengan hanya persekitaran mesra perniagaan maka kumpulan itu mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara anggota itu.

Tambah beliau, masa depan D-8 akan bergantung kepada kemampuannya untuk kekal sebagai pertubuhan yang relevan.

Bagi mempertahankan perjuangan D-8, Kohilan menambah, program dan aktiviti kumpulan itu harus memenuhi harapan ahlinya untuk memenuhi kepentingan negara masing-masing serta kumpulan itu.

"Harapan kami hanya boleh dipenuhi jika D-8 mampu melaksanakan aktivitinya tanpa terlalu membebankan atau terlalu mendesak ke atas negara anggotanya," katanya.

Beliau menggesa Sekretariat D-8 dan penyelaras kebangsaan untuk memanfaatkan kemudahan telesidang untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan mempercepatkan proses membuat keputusan.

Menurutnya kemampuan menarik penyertaan sektor swasta memerlukan tindakan pantas D-8.

Sebuah Forum Perniagaan D-8 boleh diwujudkan dalam laman web D-8 bagi menerima pandangan dan cadangan dari sektor perdagangan, katanya.

Berdasarkan pelbagai mesyuarat, katanya, Suruhanjaya D-8 boleh mengesyorkan senarai projek keutamaan yang mempunyai daya maju ekonomi dan menarik kepada sektor swasta di negara masing-masing.

Suruhanjaya D-8 dianggotai oleh pegawai kanan, ahli birokrat dan teknokrat dari kalangan negara-negara anggota.

"Alasan mengapa saya mencadangkan ini adalah bagi membolehkan D-8 menjalankan kerjasama supaya segera memudahkan pelancaran projek-projek D-8," katanya.

Pada acara itu, Kohilan menyerahkan tampuk kepimpinan Majlis Menteri-Menteri Luar D-8 yang dipegang oleh Malaysia sejak 2008 kepada Menteri Luar Nigeria, Odein Ajumogobia.

Kumpulan D-8 ditubuhkan pada 1997 di Istanbul, Turki dan ia dianggotai oleh lapan negara membangun iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Antara bidang kerjasama utama adalah perdagangan, pertanian dan keselamatan makanan, perindustrian dan perusahaan kecil dan sederhana, pengangkutan, tenaga dan bahan galian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain