suria

PM Australia Lawat Bandaraya Ciptaan Rakyat Malaysia

MELBOURNE: Springfield Land Corporation (SLC) mengalu-alukan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, serta Menteri Pertanian dan Perhutanannya, Tony Burke, ke Greater Springfield, 35 km dari Brisbane pada Jumaat.

Gillard dan rombongannya, yang terdiri daripada beberapa ahli politik negeri dan persekutuan, disambut oleh Raynuha Sinnathamby, anak perempuan pengasas Greater Springfield dan Pengerusi SLC, Maha Sinnathamby.

Maha berasal dari Rantau, Negri Sembilan. Perdana Menteri diberitahu bahawa kira-kira 20 tahun lalu, kawasan itu merupakan hutan di pinggir jalan besar di antara Brisbane dengan bandar raya Ipswich.

Maha, yang tiba di Australia pada awal tahun-tahun 1990-an, membeli sebidang tanah seluas 2,860 hektar di kawasan itu dengan harga A$7.9 juta, untuk mula merealisasikan impiannya bagi menyediakan perumahan mampu milik di bandar raya terancang pertama Australia.

"Dengan purata 3.3 keluarga berpindah ke Greater Springfield setiap hari, ia merintis jalan bagi pengurusan pertumbuhan," kata Pengarah Urusan SLC, Bob Sharpless, kepada Perdana Menteri.

Gillard memperakui anugerah-anugerah negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang dimenangi oleh Greater Springfield tahun ini, khususnya anugerah FIABCI Prix D'Excellence yang disampaikan kepadanya baru-baru ini, kerana merupakan komuniti terancang terbaik di dunia, pada satu upacara di Bali.

Maha, bekas pelajar St Paul's Institution di Seremban, memberikan banyak penekanan kepada pendidikan dan Ketua Eksekutif SLC, Jim Varghese, adalah bekas ketua Jabatan Pendidikan Queensland. Beliau juga adalah saudara lelaki kepada bekas Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Peter Varghese.

Greater Spingfield mempunyai beberapa sekolah persendirian dan sekolah kerajaan, di samping kampus University of Southern Queensland yang berpangkalan di Toowoomba.

Maha yang kini berusia 70 tahun dan memiliki kekayaan peribadi berjumlah A$770 juta, semakin banyak menyerahkan peranan pembangunan itu kepada Raynuha, demikian menurut satu laporan akhbar.

Perdana Menteri juga melawat taman Robelle Domain Parkland yang sedang dibina di Greater Spingfield dengan sumbangan Kerajaan Persekutuan sebanyak A$10 juta.

"Robelle Domain bakal menjadi satu daripada kawasan santai paling menonjol di rantau ini dan merupakan destinasi bertaraf dunia bagi pelawat dan penduduk tempatan apabila dibuka tahun ini nanti," kata Sharpless. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain