suria

Thailand Kembali Dilanda Gelombang Tidak Menentu...

BANGKOK: Selepas berjaya mengharungi bantahan anti-kerajaan oleh kumpulan baju merah selama 10 minggu pada Mei dan undi tidak percaya pada bulan lepas, pentadbiran Abhisit kini sekali lagi berdepan dengan gelombang politik tidak menentu.

Kali ini, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva yang menerajui Parti Demokrat, tunjang kerajaan campuran sekarang, perlu berdepan dengan Mahkamah Perlembagaan yang akan memutuskan sama ada akan mengharamkan parti itu dan anggota eksekutifnya.

Pejabat Peguam Negara hari ini mengemukakan kesnya di Mahkamah Perlembagaan bagi pembubaran Parti Demokrat dan melarang para eksekutifnya yang pernah memegang jawatan pada 2004 dan 2005 daripada terbabit dalam politik selama lima tahun.

Parti itu didakwa menerima sumbangan haram bernilai 258 juta Baht (kira-kira RM26.5 juta) pada 2005. Abhisit adalah timbalan presiden parti pada 2004 dan presiden parti pada 2005.

Selain itu, Demokrat juga berdepan dengan ancaman pembubaran ekoran dakwaan parti itu menyeleweng 29 juta Baht (kira-kira RM2.98 juta) diluluskan pada 2005 daripada dana pembangunan politik Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos bagi pendengaran pertama kes 29 juta Baht itu. Dua pertikaian perundangan itu menimbulkan persoalan besar sama ada parti itu mampu terus bertahan sebelum penggal pentadbiran kerajaan sekarang berakhir pada Disember tahun depan.

Dua pertikaian itu jauh lebih mencabar daripada bantahan anti-kerajaan baju merah dan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban hari ini menolak kemungkinan Parlimen akan dibubarkan sebelum Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai perkara itu bagi mengelakkan masalah sekiranya keputusan mahkamah itu kelak tidak memihak kepada parti itu.

Ditanya sama ada Parlimen akan dibubarkan sebelum penghakiman mahkamah, Abhisit hari ini berkata: "Saya tidak fikir mengenai perkara ini.

"Kita kini dalam proses mahkamah dan mahkamah akan menimbangkan dan memutuskan kes ini. Kami akan hormati dan petuhi keputusan mahkamah," katanya.

Ditanya sama ada dua kes itu akan menjejaskan kehidupan politiknya, Abhisit berkata: "Saya tidak dapat cakap apa-apa....semuanya bergantung kepada fakta dan kami akan perjuangkan kebenaran".

Berikutan perkembangan dua pertikaian perundangan itu, Suthep menafikan beberapa pemimpin parti telah mendaftarkan parti politik baru, Thai Khem Kaeng, untuk anggota Parlimen Demokrat sekiranya parti itu dibubarkan oleh mahkamah.

"Saya adalah pemimpin parti ini (Demokrat) party," kata Abhisit semasa menjawab soalan yang sama.

Kepada soalan sama ada Demokrat telah membentuk parti sokongan, Perdana Menteri itu berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

Pentadbiran Abhisit masih bertahan di sebalik bantahan jalanan oleh penunjuk perasaan baju merah yang mengakibatkan 90 orang terbunuh dan 1,800 yang lain cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota tentera antara 10 April dan 19 Mei.

Pada 2 Jun, Abhisit terselamat dalam undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain