suria

Doktor Palsu Rawat Lebih 400 Pesakit Dihukum Penjara

MELBOURNE: Seorang warga Singapura yang tidak memiliki kelayakan sebagai doktor tetapi merawat seramai 400 pesakit di Hospital Alice Springs di sini, akan meringkuk dalam penjara bagi tempoh sekurang-kurangnya 14 bulan.

Balaji Varatharaju, 29, mengaku bersalah di Mahkamah Agung Northern Territory terhadap tiga pertuduhan pemalsuan, tiga pertuduhan penipuan jenayah dan satu pertuduhan melakukan serangan teruk, demikian menurut laporan Australian Associated Press (AAP) hari ini.

Hakim Jenny Blokland berkata tindakan Varatharaju telah mnejejaskan kepercayaan umum kepada penyediaan perkhidmatan perubatan di Northern Territory.

"Hanya segelintir sahaja yang akan melakukan penipuan seperti ini," katanya.

Varatharaju ditahan pada Februari selepas didapati hanya pernah bertugas sebagai doktor ketika belajar di bawah seliaan doktor kanan, namun tidak pernah menamatkan pengajiannya.

Mahkamah sebelum itu mendengar keterangan lembaga perubatan Northern Territory yang percaya bahawa Varatharaju telah menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan dan pembedahan di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Adelaide.

Bagaimanapun, kebimbangan mula timbul mengenai pengetahuan klinikal Varatharaju dan lembaga perubatan itu mendapati sijil dan rujukan akademik beliau telah dipalsukan.

Varatharaju telah mendaftar bagi mengikuti ijazah perubatan selama enam tahun tetapi dibuang kerana memalsukan tandatangan seorang pensyarah kanan untuk satu kertas penyelidikan selain cuba menukar gred E kepada gred B.

Mahkamah turut mendengar Varatharaju telah menamatkan pengajiannya dalam bidang Sains Kesihatan tetapi gagal mendapat pekerjaan.

Hakim Blokland berkata warga Singapura itu berasal dari keluarga yang memiliki pencapaian terlalu tinggi tetapi menderita kemurungan dan kecelaruan bipolar.

Beliau berkata Varatharaju, yang menjadi sukarelawan Bulan Sabit Merah dan penjagaan warga emas, telah dimotivasikan supaya memperoleh pencapaian yang terlalu tinggi sehingga dia tenggelam punca kerana melakukan terlalu banyak perkara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain