suria

Serangan Tentera Bermula, Akhiri Pertempuran 7 Hari

BANGKOK: Ekoran kegagalan rundingan untuk penyelesaian secara aman, operasi ketenteraan besar-besaran bermula di pusat bandar pagi ini untuk menakluk semula kawasan yang diduduki penunjuk perasaan antikerajaan.

Seawal jam 6 pagi, pasukan tentera dan kenderaan berperisai (APC) bertumpu di persimpangan Silom dan Saladaeng.

Penunjuk perasaan yang dikenali sebagai kumpulan baju merah mula membakar tayar di kawasan Saladaeng kira-kira pukul 8 pagi, untuk mengehadkan penglihatan bagi menghalang kemaraan pasukan tentera dan APC.

Ini menyebabkan asap hitam tebal menyelubungi kawasan itu termasuk Hospital Chulalongkorn yang terletak bersebelahan kawasan tersebut.

Walaupun pihak hospital telah menyediakan pelan pemindahan untuk pesakitnya tetapi ia masih belum diaktifkan pada masa ini memandangkan situasi di luar hospital adalah terlalu berbahaya.

Tentera telah mula melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang berlindung di belakang sekatan yang dibina daripada tayar, buluh tajam dan kawad berduri termasuk beg plastik sampah. Dan ia diikuti bunyi berbalas tembakan.

Sebaik buah kenderaan berperisai digunakan untuk memusnahkan sekatan, tentera memasuki kawasan tersebut dan mengambil alih kawasan itu kira-kira pukul 9 pagi. Seorang penunjuk perasaan yang terkorban dijumpai di belakang sekatan itu sebaik pihak tentera berjaya mendapat semula Lumpini Park dan Witthayu Road.

"Tiada lagi rundingan kerana usaha damai telah lebur," kata ketua perunding kerajaan Korbsak Sabhavasu yang juga ketua setiausaha kepada Perdana Menteri apabila pertempuran itu masuk hari ketujuh hari ini.

Korbsak menyalahkan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang telah menggagalkan usaha damai itu tetapi beliau tidak mengulas lanjut.

Ketua perunding itu terbabit dalam rundingan secara rahsia dengan pemimpin kumpulan baju merah Veera Musikapong sejak semalam hingga menjelang pagi tadi.

Pemangku jurucakap kerajaan Dr Panitan Wattanayagorn berkata, operasi itu akan dijalankan sepanjang hari tetapi memberi amaran kepada orang ramai agar mengelak ke tapak perhimpunan itu.

Pasukan tentera kini berada di Sarasin Road dan bergerak menuju ke kawasan pentas utama di Ratchaprasong.

Sejak 3 April lepas, penunjuk perasaan telah menduduki kawasan komersil yang menempatkan kompleks membeli-belah mewah, hotel lima bintang dan pejabat utama yang terletak di tengah kota Bangkok, memaksa hampir seluruh akitiviti perniagaan ditutup di kawasan itu.

Apa yang bermula sebagai demonstrasi secara aman pada 12 Mac apabila penunjuk perasaan membuat bantahan jalanan meminta agar Parlimen dibubarkan telah bertukar kepada pertempuran dengan pasukan tentera.

Sepanjang tujuh hari lepas menyaksikan kejadian letupan, bunyi berbalas tembakan termasuk penggunaan bom tangan dan pelancar roket juga pengerahan penembak hendap yang mengorbankan 37 nyawa dan mencederakan 296 mangsa sehingga pukul 6 pagi tadi.

Dr Panitan berkata, lebih kurang pukul 11.30 pagi, pemimpin baju merah telah melarikan diri dari pentas utama. Beliau menyeru orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak polis sekiranya menjumpai pemimpin tersebut.

Pada masa ini terdapat kira-kira 5,000 penunjuk perasaan masih berada di kawasan itu dan kerajaan telah menyediakan laluan selamat untuk mereka melalui Stadium Nasional yang terletak bersebelahan tapak perhimpunan.

Bas telah disediakan untuk mengangkut mereka dari Stadium Nasional.

Sebahagian penunjuk perasaan cuba melakukan pembakaran di stesen kereta api bawah tanah di Klong Toey pagi tadi.

Mujurlah, tindakan pantas anggota keselamatan di stesen itu berjaya mengawal keadaan tersebut.

Parlimen membubarkan persidangannya hari ini manakala Bursa Saham Thailand yang dibuka untuk pasaran pada pukul 10 pagi, ditutup awal pukul 12.30 tengah hari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain