suria

Seorang Lagi Terbunuh, 17 Cedera Dalam Pertempuran Di Bangkok

BANGKOK: Seorang lagi terbunuh semasa pertempuran antara pasukan keselamatan dan pemprotes anti-kerajaan di sini hari ini, menjadikan kesemuanya 37 kematian walaupun pertempuran dilaporkan kurang hari ini.

Jumlah yang cedera meningkat kepada 296 orang dengan tambahan 17 orang yang cedera hari ini.

Empat belas daripada mereka dalam keadaan kritikal sejak pertempuran berlaku enam hari lepas.

Peluang untuk mencapai perdamaian agak sukar kerana kedua-dua pihak tidak berganjak daripada desakan mereka dalam menyelesaikan pertempuran berdarah itu.

Kerajaan mahukan baju merah menamatkan perhimpunannya dahulu sebelum rundingan baru dimulakan, kata Menteri Pejabat Perdana Menteri, Sathit Wongnongtoey.

Pemimpin baju merah Jatuporn Prompan sebaliknya berkata pemprotes itu hanya akan bersurai jika askar-askar tersebut meninggalkan kawasan berkenaan.

Pagi tadi peluang untuk penyelesaian damai sangat cerah kerana kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat sulit untuk mencari penyelesaian.

Keganasan politik yang berterusan telah menjejaskan ekonomi Thailand dengan kerugian dianggarkan antara 53 bilion Baht dan 230 bilion Baht, menurut Pusat Penyelidikan Kasikorn.

Sektor pelancongan juga terjejas teruk kerana jumlah kedatangan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini menurun dari 30,000 kepada 20,000 orang sehari, menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan.

Siam Commercial Bank hari ini menutup sementara 43 cawangannya dan memberhentikan perkhidmatan pengeluaran wang tunai di 33 mesin ATM yang terletak dalam dan berhampiran kawasan perhimpunan tersebut.

CIMB Thai menggantung sementara perkhidmatan perbankannya di 10 cawangan yang terletak dalam dan berhampiran kawasan itu selama tiga hari mulai hari ini.

Palang Merah hari membahagi-bahagikan makanan kepada kira-kira 2,000 penduduk yang terperangkap dalam kawasan pertempuran itu di Bon Kai. BERNAMA

Artikel Lain