suria

Hubungan Dua Hala Malaysia - Indonesia Terus Kukuh

JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yodhoyono dijadual melawat Kuala Lumpur pada 18 Mei (Selasa) ini untuk acara rundingan tahunan dalam rangka mengeratkan lagi hubungan dua hala dan pada masa yang sama menyelesaikan beberapa masalah yang boleh mengganggu hubungan dua hala.

Berikut ialah temubual wartawan Bernama dan Utusan Malaysia dengan Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa sempena acara rundingan tahunan itu.

Soalan: Hubungan Indonesia Malaysia kini berada pada situasi yang amat baik hasil usaha keras para pemimpin kedua-dua negara kita, namun hubungan baik itu kadang-kadang diganggu dengan hal-hal yang sukar diselesaikan, yang ada di antaranya sehingga berpuluh tahun seperti masalah tuntutan bertindih sempadan. Mengapakah isu sebegini sukar diselesaikan?

Jawapan: Saya kira kita harus selalu menempatkan masalah ini dalam konteks yang benar dan baik dalam ertikata memang kadangkala yang menjadi perhatian adalah masalah-masalah yang mengganggu seperti yang disebutkan. Tapi secara keseluruhan hubungan Indonesia dan Malaysia itu kan sangat dekat.

Tali persaudaraan juga seperti yang kita semua rasakan. Jadi bahawasanya ada satu dua masalah yang harus dikelola, itu sesuatu yang wajar untuk hubungan dua negara apalagi negara bertetangga. Jadi yang menjadi kepentingan kami di Kementerian Luar, justeru untuk menempatkan hubungan ini dalam konteks yang sesuai.

Kita ada beberapa cabaran tapi semua itu dilihat dalam kerangka yang lebih luas bahawa dalam hubungan dua negara itu ada hubungan yang sangat baik dan dekat. Soalan: Kita lihat situasi hubungan Indonesia Malaysia itu seperti pasang surut. Kadang-kadang elok, kadang-kadang situasinya agak menegang. Mungkinkah ia disebabkan kurangnya rasa "feel good" dalam hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Jadi apa yang harus dilakukan untuk mewujudkan rasa "feel good" ini? Bagaimana pula dengan program-program yang membabitkan golongan muda Malaysia dan Indonesia seperti yang dipersetujui dalam rundingan tahunan sebelum ini.

Jawapan: Memang kita menghadapi masalah adanya jurang persepsi secara kenyataannya antara Indonesia dan Malaysia ada hubungan saling melengkapi, saling memerlukan dan menguntungkan, menang-menang, positif tapi hubungan dua hala ini sering dilihat ketika kedua-dua negara ada masalah-masalah.

Ini adalah cabaran kita bagaimana boleh menempatkan masalah ini dalam konteks yang lebih luas, kebolehan masyarakat, konsistensi dalam hubungan kita. Dan memang diakui salah satu cara efektif adalah memelihara hubungan antara rakyat.

Sebenarnya aset kita luar biasa sekali, aset Indonesia-Malaysia, seperti yang anda ketahui besarnya jumlah warganegara Indonesia (WNI) yang bekerja sebagai tenaga kerja dan sebaliknya warganegara Malaysia di kalangan mahasiswa yang kuliah di Indonesia.

Dilihat secara positif apabila semuanya berjalan dengan baik (dan) dengan lancar dan tak ada masalah cenderung, keadaan hubungan ini tidak dinyatakan penghargaan sementara jika ada masalah yang berbangkit, itulah yang ditimbulkan. Itulah gambaran sebenar kepada suasana yang nyata (iaitu) hubungan antara rakyat. Pergaulan dan pengalaman sebenarnya sangat positif.

Ini dimensi kisah yang tidak diceritakan dan seharusnya diketengahkan. Kami di kementerian ada niat untuk membuat semacam 'fans of group', jadi kelompok kawan atau sahabat Malaysia di Indonesia. Sebaliknya di Malaysia juga ada 'fans of Indonesia' di Malaysia.

Jadi ini ada pihak yang berkepentingan. Tapi kita perlu mengenal pasti kumpulan masyarakat yang berkepentingan ini, dalam masyarakat kita, masing-masing yang sering mempromosikan hubungan positif. Jadi kalau misalnya kita bicara soal warganegara Indonesia di Malaysia yang sudah bekerja di sana.

Ribuan WNI, misalnya ada kes insiden yang melibatkan WNI yang kesulitan di sana kemudian timbul masalah. Saya kira umumnya WNI yang bekerja di Malaysia ingin hubungan yang tenang, sejuk, tenteram, positif kerana mereka ingin bekerja dalam situasi yang tenteram.

Jadi, kadangkala yang ini tidak terdengar. Sementara mahasiswa yang kuliah di Indonesia mereka juga ada minat untuk melihat hubungan baik. Pihak yang berkepentingan, masyarakat yang memiliki kepentingan untuk melihat hubungan ini stabil harus diberikan corong, harus diberikan suara yang mungkin selama ini cenderung dikesampingkan kerana yang vokal itu yang menunjukkan sikap tidak terlalu positif. Ini ialah mengenai usaha memberi suara kepada kumpulan yang berkepentingan ini yang minat mempromosi hubungan baik Indonesia-Malaysia.

Saya percaya mereka ada di luar sana tapi mereka harus lebih banyak bersuara agar kesenjangan (perbezaan) persepsi ini dapat ditangani secara baik.

Soalan: WNI di Malaysia jumlahnya banyak sekarang 2.2 juta. Kadang berlaku segelintir di antara mereka ada yang melakukan jenayah, dan mereka pernah juga diambil tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia termasuk ditembak mati, tapi yang jadi masalah di sini, mereka dianggap oleh kerajaan Indonesia bukan sebagai penjenayah, mereka dianggap WNI yang perlu diberi perlindungan.

Ini menjadikan Kerajaan Malaysia berada dalam situasi yang amat sulit. Bagaimanakah caranya menangani masalah ini bagi mengelakkan tidak timbulnya rasa yang tidak selesa dalam hubungan Indonesia-Malaysia?

Jawapan: Saya rasa ini sesuatu yang wajar dalam ertikata begini, kerajaan Malaysia mempunyai kewajipan untuk melindungi warganya di luar negeri misalnya di Indonesia sementara Indonesia juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi warganya di luar negeri.

Namun perlindungan, dan promosi kebajikan bukan bererti untuk memutihkan atau memberikan imuniti kepada mereka yang telah melanggar undang-undang. Itu jelas.

Tentu setiap warganegara Indonesia di Malaysia atau warga Malaysia di Indonesia tentu harus mematuhi undang-undang di negara tersebut. Jadi perlindungan bukan bermakna imuniti. Yang ingin kita lihat tentunya adalah penerapan atau perlakuan yang sesuai dengan undang-undang yang berlaku di negara tersebut.

Kriterianya cukup jelas, seperti warganegara Malaysia harus mematuhi undang-undang yang berlaku di negara kita, Indonesia juga yang di luar negeri, di Malaysia terutama juga harus mematuhi undang-undang yang berlaku di Malaysia.

Kadang kala memang permasalahan sering timbul karena masalah akses konsular. Tapi sekarang kita sedang berupaya dengan kerajaan Malaysia, adanya MoU (memorandum persefahaman) tentang perlindungan tenaga kerja atau mengenai 'mutual consular access agreement' sehingga seandainya ada warganegara Malaysia yang menghadapi masalah di Indonesia, kita harus cepat memberitahu kedutaan besar Malaysia di Indonesia.

Sebaliknya jika ada WNI di Malaysia yang menghadapi masalah, pihak berkuasa Malaysia harus menghubungi kedutaan Indonesia di Malaysia. Dengan kata lain, kedua-dua kedutaan dapat melaksanakan tanggungjawab konsular.

Tanggungjawab konsular bukan bererti mereka yang berkenaan akan diberikan pengecualian undang-undang tetapi cuma untuk memastikan mereka diberikan perbicaraan yang adil mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Ada kes tertentu yang berprofil tinggi berkaitan WNI di Malaysia yang menjadi korban penembakan, inikan faktanya sedang dicari kerana ada pandangan yang menyatakan insiden ini adalah yang demikian sedangkan ada saksi yang menyatakan demikian pula.

Kita akan memastikan sistem keadilan itu berjalan dengan baik. Kita hanya mahu memastikan setiap WNI kita masing-masing memperoleh perlindungan dari negaranya tapi itu bukan bererti boleh mengabaikan undang-undang. Ini berlaku bagi setiap negara.

Soalan: Seperti yang Bapak sebutkan tadi, isu-isu yang negatif mudah dihebahkan oleh masyarakat. Apa harapan Bapak untuk memastikan isu negatif ini tidak diperbesarkan oleh masyarakat dan media.

Jawapan: Kita tahu Malaysia seperti halnya Indonesia adalah negara demokratik, kita ada masyarakat yang maju. Zaman di masa lalu di mana hanya ada satu pandangan sekarang di Indonesia sudah tidak mungkin lagi kerana sudah terbuka.

Jadi yang perlu kita lakukan adalah menciptakan pendapat yang bermaklumat sehingga seandainya ada masalah dalam hubungan dua negara, kita boleh diletakkan dalam konteks yang utuh bahawa ia adalah insiden ini dan itu, namun dilihat dalam gambaran besar dalam hubungan kita yang diperkukuhkan, jadi tidak ada jalan pintas, tak boleh dipaksakan kecuali kita harus menciptakan kumpulan masyarakat di masing-masing negara yang bermaklumat, yang memiliki pengetahuan yang utuh tentang hubungan Indonesia Malaysia yang sebenarnya.

Kerana kalau anda ketahui, misalnya, banyak masalah kalau kita bicara mengenai keganasan lintas sempadan. Akhir-akhir ini Indonesia sedang berupaya keras melumpuhkan ancaman terorisme.

Terorisme rangkaiannya bersifat merentas wilayah, ada yang warga ini dari sana datang, Indonesia ke Malaysia, Malaysia ke Indonesia, Indonesia ke Filipina jadi banyak sekali kepentingan bersama yang harus kita kelolakan. Jadi dalam menghadapi cabaran yang bersifat transnasional, kita bicarakan tentang kegiatan lanun misalnya, ingat beberapa tahun yang lalu, Selat Melaka pernah menjadi bermasalah kerana banyak insiden kegiatan lanun dan setelah Indonesia, Malaysia dan Singapura bekerjasama sebagai negara pantai di Selat Melaka, akhirnya masalahnya menjadi jauh lebih menurun.

Saya percaya ini merupakan petanda jelas tentang apa yang boleh dicapai jika kita menetapkan pemikiran untuk bekerja bersama-sama dan tidak hanya menyalahkan pihak tertentu. Secara peribadi, pemikiran saya menjurus kepada penyelesaian masalah. Adalah sesuatu yang wajar untuk dua negara bertetangga untuk ada masalah-masalah yang harus dikelola.

Ia bukan bermakna kita menjadi kurang bersahabat tetapi ia adalah hakikat kehidupan. Cuma kita harus mengelola masalah-masalah itu dengan penuh kebijaksanaan dalam konteks hubungan yang lebih luas.

Soalan: Komitmen Malaysia dan Indonesia, untuk menyelesaikan masalah bersama tidak pernah luntur malah ia terus dipergiatkan. Ia terbukti dengan kunjungan dan lawatan Menteri kedua-dua negara namun ia tidak seimbang dengan jumlah isu yang diselesaikan, bahkan isu-isu baru bertambah.

Apakah yang menjadi masalah kepada penyelesaian isu-isu bilateral kedua-dua negara ini?

Jawapan: Saya kira kita perlu memperkuat kaedah dan kerangka kerja kerana jelas antara kedua negara sebagai negara bertetangga banyak sekali masalah-masalah baik cabaran mahupun peluang, yang harus dikenal pasti dan harus dimanfaatkan berkaitkan peluang.

Sekarang kita perlu menyusun satu kerangka kerja di mana ada sistem penilaian, pertamanya mengenal pasti isu. Satu kerangka kerja kaedah yang mampu secara cepat mengenal pasti sesuatu masalah, misalnya, bila satu masalah timbul kita boleh cepat mengenal pastinya, Oh ini ada masalah, dan ada tindakan segera untuk mengawalnya daripada terus berlarutan sehingga menjadi tidak terkawal dan sukar pula untuk dikendalikan.

Dan jika perlu ada kaedah yang boleh memastikan ada susulan terhadap masalah-masalah yang sudah disepakati bersama. Sekarang ada yang namanya rundingan tahunan, secara definisi sifatnya tentu setiap tahun. Sekarang di antara rundingan tahunan bila kedua-dua pemimpin kita bertemu, kita harus isi dengan pertemuan-pertemuan rundingan peringkat menteri, sehingga mungkin ada kumpulan kerja bersifat tema.

Kemudian kita bertemu, kemudian dilaporkan ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) yang dipengerusikan oleh Menteri Luar.

Sebenarnya Menteri Luar seharusnya bertemu dalam format JCM setiap sebelum rundingan tahunan. Sekarang forum ini tidak mengadakan pertemuan ini sejak 2004.

Tentunya kita sering bertemu, tapi bukan sebagai forum yang rasmi tadi itu, jadi kita berketetapan ingin memastikan bahawa setiap sebelum ada rundingan tahunan ini ada persiapan yang matang, ada pertemuan yang rutin dan peringkat kumpulan kerja yang bersifat tema ini. Sekarang dengan Bapak Menteri amat baik komunikasinya.

Dalam keadaan yang perlu, oleh kerana hubungan antara Menteri-menteri Luar dari negara-negara Asean sangat dekat, sangat bersahabat, jadi tidak usah terlalu formal, setiap ada masalah kita boleh saling menghubungi, saling berunding. Memang rundingan tahunan di peringkat ketua kerajaan, kemudian di bawahnya ada yang namanya JCM yang dipimpin oleh Menteri Luar, yang anggotanya terdiri daripada menteri-menteri lain. Kedua-dua Menteri Luar menyelaras, menyatukan menteri-menteri lain.

JCM ini sepatutnya bermesyuarat setiap kali sebelum rundingan tahunan. Saya berpandangan, mungkin peringkat kumpulan kerja yang bersifat tema, misalnya, kumpulan kerja mengenai tenaga kerja atau kumpulan kerja mengenai jenayah lintas sempadan, mereka perlu bertemu setiap tiga bulan, dan melaporkan hasilnya kepada Menteri Luar yang memimpin JCM.

Dalam masa enam bulan pula JCM akan melaporkan hasil ini kepada ketua kerajaan masing-masing dan seterusnya enam bulan kemudian pula. Jika ada kaedah begini, tidak ada isu yang akan terbiar dan tidak diselesaikan.

Saya percaya kita sedang melakukan perkara ini tetapi bukan secara tersusun. Soalan: Tanggal 18 Mei Presiden Susilo Bambang Yudhoyono akan melawat Malaysia untuk acara rundingan tahunan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, apakah Presiden SBY akan memberi petunjuk kepada penyelesaian isu-isu bersama seperti tenaga kerja Indonesia dan tuntutan bertindih sempadan?

Jawapan: Saya kira pertemuan ini ada antara pemimpin dan antara jajaran menteri. Saya kira kita ingin memberi peluang kepada ketua kerajaan melakukan pembahasan yang betul-betul bersifat masa yang berkualiti. Betul-betul dapat membahaskan isu-isu dalam gambaran yang besar, tidak terbeban dengan masalah yang terlalu teknikal.

Soal teknikal biarlah menteri yang bekerja. Tapi tentu kedua-dua ketua kerajaan yang akan memberikan petunjuk kepada masalah-masalah yang belum diselesaikan untuk menteri-menterinya menyelesaikan. Apakah itu masalah tenaga kerja, masalah potensi pelaburan, potensi perdagangan, masalah perbatasan misalnya dan lain-lain.

Saya secara jujur, tidak melihat adanya masalah itu sebagai sesuatu yang harus diprihatinkan atau dikhuatirkan kerana ini wajar antara hubungan dua negara yang bertetangga yang terdekat, kita boleh mengelola masalah itu. Yang penting kita menciptakan pemimpin pelapis, generasi pelapis Indonesia dan Malaysia dan bila ada isu hubungan antara rakyat, setiap lapisan itu ada yang memahami hubungan antara kedua-dua negara ini.

Soalan: Dalam kerangka hubungan rundingan tahunan ini peranan kumpulan tokoh terkemuka (EPG), apakah sumbangan yang telah diberikan oleh kumpulan-kumpulan ini dalam membantu forum ini?

Jawapan: Dalam hubungan rundingan tahunan ini, salah satu elemen utama ialah EPG. EPG dari Indonesia dan dari Malaysia dan duduk bersama, sudah ada beberapa cadangan yang mereka tampilkan yang harus kita segera laksanakan yang kerajaan Indonesia sangat berkepentingan melaksanakan.

Sekarang di pihak Indonesia, kita masih ingin melanjutkan EPG ini dan saya mendengar dari Malaysia sendiri sedang mempertimbangkan keanggotaannya. Soalan: Indonesia terbukti dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi positif walaupun berdepan dengan krisis ekonomi global. Keadaan ini menarik ramai pelabur ke Indonesia termasuk dari Malaysia.

Jumlah pelabur Malaysia di Indonesia secara relatifnya jauh lebih besar berbanding pelabur Indonesia di Malaysia. Apakah yang dapat dilakukan oleh Kuala Lumpur untuk menarik lebih ramai pelabur Indonesia memandangkan faktor tenaga kerja Indonesia yang tersedia di Malaysia dan boleh dimanfaatkan.

Jawapan: Saya kira pertama khusus mengenai krisis kewangan global akhir-akhir ini, Indonesia secara relatif tidak terlalu mendapat kesan berbanding perekonomian lain kerana ia wujud dari kenyataan bahawa Indonesia telah banyak belajar daripada pengalaman tahun 1998 dan 1999, ketika seluruh rantau ini terjejas dan kita telah melaksanakan dasar kewangan dan fiskal yang berhati-hati.

Kita tidak boleh leka dan harus mengelakkan daripada terkena tempias masalah ekonomi seperti di Eropah, di Greece, walaupun jauh, kita tidak boleh leka untuk tidak terkena jangkitannya.

Mengenai pelaburan, apalagi sekarang dengan semakin kuatnya masyarakat enonomi Asean, penyatuan Asean, saya kira pemikiran kita harus lebih integratif dengan ertikata tidak harus melihat aliran pelaburan atau aliran dagangan, jadi harus melihat jumlah sifar, inikan proses semula jadi.

Saya kira pelabur memang didorong untuk mengaut untung, jadi kalau memang ada peluang di Indonesia bagi pelabur Malaysia tentu secara semulajadi akan datang ke Indonesia.

Tapi saya yakin dengan perekonomian Malaysia yang kuat, yang menarik pada waktunya juga secara semulajadi pelabur Indonesia juga akan menoleh ke Malaysia. Jadi sifat ini ialah menang-menang, proses saling memperkukuh. Saya tidak fikir, ada sesuatu yang harus secara artifisial yang diupayakan. Yang pasti ada sektor-sektor yang masing-masing negara akan tertarik.

Soalan: Malaysia telah memenangi tuntutan terhadap tanahnya yang dicerobohi di Kemang Raya, Jakarta Selatan setelah melalui proses undang-undang selama 12 tahun. Mengapakah proses pengembalian tanah ini tertangguh hingga sekarang?.

Adalah difahamkan masalah pelaksanaan ensekusi ini adalah di peringkat pejabat Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta, sejauhmanakah benarnya maklumat ini? Selain tanah milik Malaysia yang dicerobohi, ada juga tanah milik pelabur Malaysia yang berdepan ancaman diambil balik.

Apakah jaminan kerajaan Indonesia terhadap tanah milik pelabur di negara ini.

Jawapan: Saya tidak akan komen kes ini langsung secara spesifik. Saya kira semuanya termasuk masalah tanah milik Kedutaan Besar Malaysia di Kemang Raya sudah ada keputusannya, tinggal masalah pelaksanaannya. Saya tidak mengetahui di mana masalahnya, siapa yang tinggal melaksanakannya.

Apakah di Pejabat Gabenor, tapi yang penting kerajaan Indonesia bertekad untuk mengadakan penyelesaian yang baik ke atas masalah ini, yang tidak menimbul gejolak baru dan lain-lain. Masalah teknikal seperti ini akan dikelola pada peringkat yang bersesuaian bukan di peringkat ketua kerajaan dan menteri tapi pasti masalah ini sudah mendapat perhatian.

Mengenai gambaran umum tentang masalah kepastian undang-undang berkaitan masalah pelabur, saya kira seperti juga Malaysia, Indonesia juga faham mengenai pentingnya mencipta suasana kondusif bagi para pelabur untuk menanam modal di negara kita. Salah satu kriterianya itu tentunya ialah menciptakan kepastian undang-undang.

Jadi kes seperti itu saya yakin pasti itu akan boleh diselesaikan dengan baik. -BERNAMA

Artikel Lain