suria

ECER Tawar Pelabur Timur Tengah Untuk Terokai Sektor Pertanian

JEDDAH: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia yang kini menempatkan dirinya sebagai destinasi pelaburan global yang kompetitif, dengan menawarkan peluang yang besar kepada para pelabur Timur Tengah yang berminat melabur di dalam sektor pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) Datuk Jebasingham Issace John berkata mereka digalakkan untuk kemungkinan meneroka di dalam sektor pertanian komersil berskala besar menggunakan teknologi moden di kawasan yang luas di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Daerah Mersing di Johor.

"Mereka juga boleh meneroka aktiviti hiliran bernilai tinggi seperti pengeluaran makanan halal yang boleh menampung pasaran eksport," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam hubungan ini, katanya ECERDC menjemput para pelabur dari Teluk untuk mengambil bahagian di dalam syarikat utama melaksanakan pertanian kontrak dan nukleas dengan para petani tempatan di ECER Malaysia.

Jebasingam adalah anggota delegasi misi pelaburan ECERDC ke Abu Dhabi di Emiriah Arab bersatu (UAE) serta Riyadh dan Jeddah di Arab Saudi dari 7 hingga 17 Mei, yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri dan Penasihat Koridor Pembangunan di Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jeddah adalah peringkat terakhir misi itu yang merupakan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia, kedutaan Malaysia di UAE dan Arab Saudi, yang turut disertai ECERDC, ECER kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Perindustrian Halal.

Jebasingham berkata para pelabur turut dialu-alukan mewujudkan satu Pusat Kutipan Sehenti, Pusat Pemoprosesan dan Pengedaran (CPPC) di wilayah itu untuk meningkatkan bekalan mahan mentah berkualiti dan produk diproses untuk diedarkan kepada pengeluar dan peruncit tempatan dan dari seberang laut.

ECERDC adalah satu jentera tujuan khas yang diwujudkan bagi memacu pelaksanaan projek dan program utama di dalam pelan induk ECER.

Ia juga akan menyediakan hala tuju, dasar dan strategi yang betul berkaitan pembangunan di dalam ECER dengan menyediakan penyelarasan antaran entiti kerajaan di dalam penggalakan aktiviti perdagangan, pelaburan, pelancongan dan dan pembangunan di dalam ECER. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain