suria

Tujuh Lagi Terbunuh Yermasuk Seh Daeng

BANGKOK: Tujuh orang lagi, termasuk perancang strategi tentera Mej-Jen Khattiya Sawasdipol terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan anti kerajaan, yang masuk hari kelima hari ini, menjadikan jumlah kematian setakat ini ialah 36 orang.

Mej-Jen Khattiya yang juga dikenali sebagai Seh Daeng mati pada pukul 9.20 pagi di Vajira Hospital, di sini, kata pengarah hospital itu Chaiwan Charoenchokthawwee.

Jeneral dua bintang itu yang digantung daripada pasukan tentera dan bersekutu dengan penunjuk perasaan anti kerajaan baju merah ditembak di kepala oleh penembak hendap ketika ditemubual pemberita malam Khamis lepas di kawasan mereka berhimpun di pusat bandar di sini.

Kumpulan baju merah menyalahkan kerajaan atas tembakan itu tetapi pihak tentera dan polis menafikan penembak hendap itu adalah orang mereka manakala kerajaan menafikan mengeluarkan arahan itu.

Kematiannya dijangka menjadikan situasi di ibu negara itu bertambah runcing.

Sehingga pukul 11 pagi ini, seramai 21 orang lagi cedera, menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera setakat ini ialah 252 orang dengan 14 daripadanya kritikal.

Mereka yang cedera termasuk empat wartawan dan enam rakyat asing dari New Zealand, Itali, Kanada, Poland, Myanmar dan Liberia.

Kesemua rakyat asing itu ialah mereka yang berada di kawasan berkenaan untuk melihat kejadian itu kecuali rakyat Kanada yang merupakan wartawan French 24 TV.

Pertempuran sengit kini berpusat di Din Daeng, Bon Kai, Sala Daeng dan Ratchaprapop. Awal pagi ini, sebuah hotel lima bintang yang terletak bersebelahan dengan kawasan kumpulan itu berkumpul diserang dengan tiga roket RPG.

Roket itu jatuh di tingkat 17 dan 21, memaksa mereka yang menginap di hotel itu lari menyelamatkan diri. Tiada yang cedera dan semua mereka dinasihat untuk daftar keluar dari hotel itu.

Pasukan keselamatan belum memasuki kawasan perhimpunan seluas empat kilometer persegi memandangkan mereka hanya mengepung kawasan itu manakala kumpulan baju mereka masih menguasai markas mereka.

Semuanya bermula dengan demonstrasi aman pada 12 Mac apabila penunjuk perasaan anti kerajaan berhimpun di jalan raya menuntut kerajaan membubarkan Parlimen.

Sejak itu, mereka berkampung di jalan raya mengadakan bantahan siang dan malam dan pada 3 April mereka memenuhi pusat bandar yang menempatkan kompleks beli-belah mewah, hotel lima bintang dan pejabat-pejabat utama kerajaan.

Kawasan berkenaan kini bertukar menjadi medan perang yang dipenuhi letupan bom, kejadian berbalas tembakan, termasuk penggunaan peluru hidup dan pelancar bom, serta kehadiran penembak hendap.

Pada masa ini, pasukan tentera hanya mengepung kawasan itu dengan memutuskan bekalan dan menyekat yang lain memasuki kawasan itu.

Beribu-ribu penunjuk perasaan telah meninggalkan kawasan itu sejak keganasan tercetus Khamis lepas dan kerajaan menganggarkan kira-kira 6,000 penunjuk perasaan masih berada di kawasan itu.

Bagaimanapun, ramai dari kalangan wanita, kanak-kanak dan orang tua enggan meninggalkan kawasan itu walaupun semalam kerajaan merayu mereka untuk mengosongkan kawasan terbabit menjelang pukul 3 petang ini.

Kerajaan tidak menjelaskan apa yang akan berlaku selepas tempoh yang diberi itu. Harapan untuk penyelesaian secara aman nampaknya tipis memandangkan kerajaan telah menutup pintu rundingan walaupun kumpulan baju merah itu meminta untuk mengadakan rundingan baru.

Kerajaan mengambil pendirian itu berikutan kegagalan rundingan yang lepas dan pelan perdamaian kebangsaan termasuk tawaran untuk mengadakan pilihan raya pada 14 Nov yang pada awalnya diterima oleh kumpulan baju merah tetapi mereka masih enggan meninggalkan kawasan itu menjelang tarikh akhir 12 Mei yang diberi oleh kerajaan.

Di luar Bangkok, kumpulan baju merah memulakan pusingan baru bantahan secara aman di Chiangmai, Phayao dan Ubon Ratchathani meminta kerajaan mengundurkan pasukan tentera di Bangkok.

Dua mesin ATM sebuah bank di Chiangmai dilempar dengan bom pagi ini. -BERNAMA

Artikel Lain