suria

Pekema Harap Mustapa Jawab Isu Yang Ditimbulkannya Minggu Depan

JEDDAH: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berharap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengumumkan mengenai beberapa persoalan Dasar Automotif Nasional (DAN) yang dipertikaikannya pada minggu depan.

Pemangku Presiden Pekema Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata persatuan itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada Rabu ini dan Mustapa dijadual hadir menyampaikan ucapan pada majlis makan pada sebelah malamnya.

Katanya Pekema telah menerima maklum balas yang positif dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai isu-isu dalam DAN yang dibangkitkan.

Menurutnya, Pekema sudah menemui para pegawai kanan MITI mengenai isu DAN, terutama dalam aspek penamatan dasar Permit Import (AP) pada Disember 2015 dan caj bayaran RM10,000 bagi setiap pengeluaran AP terbuka.

"Perjuangan Pekema melangkaui masalah perniagaan ahli-ahli di dalam sektor automotif.

"Perjuangan kami ialah untuk mempastikan kesinambungan denyut nadi Bumiputera dalam perniagaan automotif yang perlu dipertahankan demi faedah bersama," katanya kepada Bernama.

Di Malaysia, Zainuddin berkata, pengimportan dan penjualan kereta terpakai tidak memberi kesan sehingga boleh menjejaskan perniagaan syarikat pembuat dan pemasang kereta tempatan.

Dari segi kuantitinya, katanya, bilangan kereta yang diimport hanyalah sekitar 5.0 peratus daripada keseluruhan jumlah kereta yang dipasang di dalam negara.

"Namun, dari segi nilai, ia memberi kerajaan hasil cukai import dan eksais tahunan yang tinggi melebihi RM1 bilion, yang tidak termasuk cukai korporat di sekitar RM120 juta setahun dan cukai lain seperti cukai pendapatan dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, kaum Bumiputera masih baharu berjinak dalam bidang keusahawanan dan perjalanan mereka masih jauh dengan pelbagai onak dan duri yang perlu ditempuh.

"Kerajaan kita masih stabil, kuat dan tidak perlu tunduk pada sebarang tekanan. Biarkanlah Bumiputera terus mengecap nikmat dari satu dasar yang tidak lari dari aspirasi dan apa yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan."

"Jika ekonomi itu diibaratkan sebagai sebiji kek, di sinilah sahaja yang nampaknya Bumiputera merasa nikmat kejayaan ekonomi hasil kemerdekaan negara dan kebijaksanaan dasar pemerintah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain