suria

Pertempuran Diteruskan Dengan Enam Lagi Kematian

BANGKOK: Pertempuran antara pasukan tentera dan kumpulan penunjuk perasaan anti kerajaan masih lagi diteruskan hari ini dengan enam lagi mangsa terkorban, menjadikan jumlah kematian setakat ini kepada 22.

Seramai 31 orang tercedera hari ini iaitu meningkat kepada 172 orang sepanjang tiga hari pertempuran yang berlarutan sehingga pukul 9 malam ini.

Mereka yang tercedera termasuk seorang jurugambar akhbar tempatan yang terkena tembakan di bahagian kakinya.

Pasukan tentera bertempur dengan penunjuk perasaan di empat lokasi - Din Daeng, Bon Kai, Ratchaprapop dan Silom Road.

Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon hari ini meminta kerajaan dan penunjuk perasaan menyelesaikan masalah itu secara aman bagi mengelakkan lebih ramai terkorban.

Pemimpin kumpulan baju merah Jatuporn Prompan menyeru agar gencatan senjata oleh pihak tentera dalam usaha untuk mengelakkan lebih ramai terkorban.

Sejumlah 51 orang termasuk empat anggota tentera terkorban dalam tempoh lima minggu apabila kumpulan penunjuk perasaan baju merah melancarkan protes jalanan sejak dua bulan lepas meminta kerajaan membubarkan Parlimen.

Pusat Resolusi Situasi Kecemasan (CRES) berkata bahawa operasi akan diteruskan untuk mengawal kawasan seluas tiga kilometer persegi yang diduduki penunjuk perasaan di pusat bandar sejak satu bulan lepas.

Jurucakap CRES Kolonel Sansern Kaewkamnerd berkata rancangan pembendungan mereka berjaya mengurangkan bilangan penentang dengan menyekat kemasukan penunjuk perasaan baru dan bekalan makanan ke kawasan itu.

Tinjauan di kawasan itu mendapati penurunan mendadak bilangan penunjuk perasaan dan menurut jurucakap kerajaan Dr Panitan Wattanayagorn, mereka berjaya mengurangkan jumlah itu kepada separuh iaitu kira-kira 6,000 orang sahaja kerana ramai yang meninggalkan tapak demonstrasi itu.

Ketua baju merah mengakui bekalan makanan mereka semakin berkurangan sekarang.

Kawasan itu yang sebelum ini menempatkan pusat membeli-belah mewah, hotel lima bintang dan pejabat utama, kini telah bertukar wajah menjadi zon perang dengan aktiviti pengeboman, berbalas tembakan termasuk penggunaan peluru hidup, pelancar bom tangan dan kewujudan penembak hendap.

Kumpulan penunjuk perasaan itu telah mengetatkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan itu dengan membuat kepungan daripada buluh tajam, tayar dan kawad berduri.

Pihak tentera sebaliknya membuat kepungan mengunakan lori penyembur air dan kawad berduri di sekitar pintu masuk ke daerah itu.

Namun, adalah sukar untuk mempercayai pada awalnya ketika sesi karaoke sedang berlangsung di pentas utama tapak perhimpunan di Rathaprasong di tengah-tengah pertempuran meletus berhampiran kawasan itu malam tadi.

Mereka hanya menyanyi dan menari, mungkin untuk menenangkan fikiran daripada situasi yang tegang itu.

Malah ketika itu juga dilihat tukang gunting baju merah sedang menggunting rambut pemimpinnya Jatuporn Prompan di belakang pentas.

Seorang penunjuk perasaan wanita, Pratin Pinyosi, 42, berkata dia tidak takut untuk menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu walaupun 16 orang telah terkorban semalam.

"Saya bersedia untuk mati demi berjuang untuk demokrasi dan saya akan teruskan perjuangan sekiranya pemimpin saya meminta saya berbuat demikian," kata Pratin, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu rumah.

Dia berada di situ setiap hari sepanjang satu bulan lalu selepas selesai bekerja dan sekarang mengambil cuti selama seminggu bermula Rabu lepas hanya semata-mata untuk menyertai perhimpuan itu dengan sepenuh masa.

Aktivitinya hanya mendengar ucapan yang disampaikan oleh ketua baju merah dan memberi sokongan moral kepada mereka yang berjuang atas prinsip yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain