suria

Baju Merah Terus Membakar Bangunan

BANGKOK: Lebih daripada 34 kebakaran dilakukan di Bangkok dengan wilayah lain turut mengalami kejadian yang sama selepas operasi tentera untuk merampas kembali pusat kota ini yang diduduki penunjuk perasaan antikerajaan berakhir semalam.

Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok, 34 serangan kebakaran disasarkan ke atas kompleks membeli-belah, hotel, pasar raya, kedai, pawagam dan stesen televisyen.

Beberapa buah rumah di Bangkok turut dibakar.

Semasa perintah berkurung dikenakan di ibu negara ini dari 8 malam tadi (9 malam waktu Malaysia) hingga 6 pagi ini (7 pagi waktu Malysia), kebakaran masih dilakukan di sebuah hotel di Din Daeng dan sebuah pasar raya di Rajdamri.

Penunjuk perasaan Baju Merah melakukan pembakaran sebaik sahaja para pemimpin mereka menyerah diri dan mengisytiharkan tamatnya protes mereka kira-kira 2 petang semalam.

Bangunan yang paling teruk terjejas di Bangkok ialah sebuah pawagam dan gedung membeli-belah terbesar di Asia Tenggara iaitu Central World.

Sebahagian bangunan bursa saham Thailand turut terbakar semalam, menyebabkan urus niaga ditangguhkan hari ini.

Sesetengah penunjuk perasaan tegar yang tidak berpuas hati apabila tunjuk perasaan ditamatkan dan pemimpin mereka menyerah diri, merompak kompleks membeli-belah di kawasan yang mereka duduki sebelum membakarnya.

Semua bank tempatan dan asing serta institusi kewangan masih ditutup hari ini.

Di luar Bangkok, wilayah seperti Chiangmai, Khon Kaen, Ubon Ratchatani, Udon Thani dan Mukdaharn turut mengalami kejadian yang sama, di mana sasaran utama pembakaran ialah bangunan majlis perbandaran masing-masing.

Statistik terbaru yang dikeluarkan ekoran penggempuran semalam di Bangkok melaporkan tujuh orang mati dan 81 cedera, menjadikan jumlah kematian kepada 44 orang dan 384 cedera sejak pertempuran tujuh hari lalu.

Pejabat Polisi Ekonomi Mikro menganggar pertumbuhan ekonomi Thailand akan menjunam lebih daripada 0.5 peratus, ekoran terjejasnya sektor pelancongan.

Namun pertumbuhan keseluruhan masih dianggar antara 4 hingga 5 peratus tahun ini.

Menurut Lembaga Perdagangan Thailand, krisis itu menyebabkan kerugian kira-kira 500 bilion Baht dan mengambil masa sebulan untuk pulih dan lebih daripada enam bulan untuk mengembalikan mengembalikan keyakinan pelabur di Thailand, ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Jumlah kedatangan pelancong merosot dua per tiga daripada 30,000 orang setiap hari kepada hanya 10,000 setiap hari. - BERNAMA

Artikel Lain