suria

Perintah Berkurung Di 26 Wilayah Lain Di Thailand

BANGKOK: Perintah berkurung dikenakan di 24 wilayah lain selain Bangkok mulai 8 malam ini hingga 6 pagi esok, selepas pihak tentera menangani penunjuk perasaan antikerajaan di ibu kota Thailand ini.

Pusat Resolusi Situasi Kecemasan (CRES) turut mengumumkan dua lagi wilayah iaitu Kalasin dan Mukdaharn telah diletak di bawah perintah darurat dengan perintah berkurung akan turut dikenakan di situ.

Terdapat 76 wilayah di Thailand dengan 27 daripadanya diletak di bawah perintah darurat.

Di Khon Kaen dan Udon Thani, ribuan penunjuk perasaan Baju Merah menyerang Dewan Bandaraya dan membakar bangunan kayu Dewan Bandaraya di Udon Thani.

Mereka membalas tindakan kerajaan yang menguasai semula kawasan yang mereka duduki selama ini di Bangkok.

Di Bangkok, golongan Baju Merah meneruskan rusuhan dengan membakar tiga pusat membeli-belah mewah, sebuah hotel, enam bank, sebuah pasar raya dan sebuah pawagam selepas pihak tentera menguasai semula kawasan penunjuk perasaan di tengah kota Bangkok.

Sebahagian bangunan bursa saham Thailand turut terbakar.

Pihak bomba sukar memasuki bangunan yang terbakar ekoran tembak-menembak yang berlaku.

Angka kematian setakat 8 malam ini dilaporkan seramai 43 orang sementara 365 orang cedera dengan 15 daripadanya parah sejak pertempuran tujuh hari lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain