suria

Rundingan Rahsia Untuk Akhiri Pertempuran Di Bangkok

BANGKOK: Rundingan bagi mengakhiri pertempuran antara pasukan keselamatan dan pihak anti kerajaan yang memasuki hari keenam hari ini dan telah mengorbankan 36 nyawa masih berlangsung.

Belum ada tanda penyelesaian telah dicapai.

Kerajaan telah melanjutkan tempoh untuk mengambil alih kawasan yang dikuasai kumpulan penunjuk perasaan di tengah-tengah bandaraya bagi memberi laluan kepada rundingan itu, sekalipun tempoh akhir iaitu pukul 3 petang semalam untuk kumpulan tersebut berundur telah berakhir.

Pemimpin kumpulan Baju Merah, Dr Weng Tojirakarn mengesahkan hari ini seorang pemimpin mereka Veera Musikapong sedang berusaha berunding secara rahsia bagi mencapai penyelesaian damai.

Beliau yakin Veera akan berjaya menghentikan pertumpahan darah. Sehingga pukul 12 tengahari tadi, penunjuk perasaan masih bertahan di kawasan itu sementara pihak keselamatan pula tidak bertindak untuk masuk dan mengambil alih kawasan terbabit.

Veera adalah pemimpin yang dihormati termasuk oleh pihak kerajaan kerana beliau terkenal dengan pendekatan secara aman, tidak seperti pemimpin Baju Merah yang lain.

Malah beliau tidak melibatkan diri apabila pemimpin Baju Merah yang lain enggan berundur daripada kawasan yang diduduki melewati tarikh akhir 12 Mei lepas sekali gus membawa kepada situasi sekarang.

Pada peringkat awal kedua-dua pihak enggan mengalah kepada tuntutan masing-masing.

Kerajaan mahu penunjuk perasaan menamatkan perhimpunan mereka dan menyerah diri bagi mencapai penyelesaian secara aman, sementara pihak antikerajaan pula mendesak agar kerajaan terlebih dahulu menarik balik pasukan keselamatan sebelum mengadakan rundingan.

Tumpuan utama kerajaan adalah untuk mengurangkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sekiranya pasukan keselamatan terpaksa memasuki kawasan itu sebagai langkah akhir dalam usaha menyuraikan kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di kawasan itu.

Ianya juga adalah hasrat majoriti rakyat Thailand dan masyarakat antarabangsa, malah sebahagian besar kumpulan Baju Merah sendiri.

Rundingan dijangka diselesaikan hari ini memandangkan cuti umum khas dua hari untuk Bangkok berakhir hari ini.

Ketika rundingan berlangsung, seorang lagi maut menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang terkorban 36 orang setakat ini, sementara jumlah yang cedera pula meningkat kepada 256 orang selepas 23 lagi cedera hari ini.

Pertempuran sengit berlangsung di Din Daeng dan Bon Kai sepanjang malam tadi.

Kerajaan menyediakan makanan dan tempat perlindungan sementara bagi kira-kira 2,000 keluarga yang terperangkap dalam perempuran di Bon Kai itu.

Bantahan aman oleh kumpulan antikerajaan mendesak pembubaran Parlimen sejak 12 Mac lepas kini menjadi peperangan berdarah dengan letupan bom dan pertempuran senjata api termasuk penggunaan pelancar roket dan penembak hendap.

Kawasan seluas empat kilometer persegi yang diduduki kumpulan penunjuk perasaan itu adalah lokasi hotel bertaraf lima bintang, pusat membeli-belah yang mewah serta bangunan pejabat-pejabat utama. - BERNAMA

Artikel Lain