suria

Tiga Wakil Media Cedera Terkena Tembakan Di Bangkok

BANGKOK: Tiga wakil media cedera terkena tembakan apabila tentera dan penunjuk perasaan anti-kerajaan meneruskan pertempuran mereka hari ini. Tiga wakil media itu terdiri daripada jurukamera dari Voice TV, seorang jurufoto tempatan dari akhbar Matichon dan seorang wartawan asing dari French 24 TV. Jurukamera itu dirawat di Police General Hospital, jurufoto di Bamgungrat Hospital dan wartawan asing itu di Chulalongkorn Hospital.

Identiti mereka masih belum dikenal pasti dan ketiga-tiganya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Jurufoto dan wartawan berkenaan terkena tembakan di kaki mereka dan setakat ini tiada maklumat berhubung kecederaan yang dialami jurukamera itu.

Masih belum jelas buat masa ini mengenai bagaimana ketiga-tiga wakil media itu cedera terkena tembakan semasa sedang membuat liputan pertempuran itu di sini kira-kira 2 petang.

Letupan bom, tembakan senapang dan gas pemedih mata menambah ketegangan di bandar raya ini pada masa pertempuran antara tentera dan penunjuk perasaan anti-kerajaan yang bermula semalam, berlanjutan hingga hari ini.

Letupan bom dan tembakan senapang kedengaran dari semasa ke semasa dan tidak jelas pihak mana yang meledakkan bom itu.

Malah apabila tentera berhenti melepaskan tembakan gas pemedih mata dan tembakan amaran, bunyi tembakan senapang masih boleh didengari.

Pertempuran malam semalam mengakibatkan seorang terbunuh dan 32 orang tercedera, termasuk pegawai tentera yang juga pemimpin kumpulan berbaju merah Mej Jen Khattiya Sawasdipol yang masih berada dalam keadaan kritikal di Vajira Hospital, di sini selepas ditembak di kepala.

Pemimpin kumpulan berbaju merah menyalahkan penembak hendap tentera kerana insiden itu yang berlaku beberapa jam selepas kerajaan mengumumkan untuk menugaskan kereta perisai serta penembak hendap di tapak perhimpunan. Bagaimanapun, kerajaan hari ini menafikan pembabitannya dalam insiden menembak Mej Jen Khattiya yang juga dikenali sebagai Seh Daeng, kata pemangku jurucakap kerajaan Dr Panitan Wattanayagorn.

Penunjuk perasaan menawan dan merosakkan dua trak meriam air tentera di Lumpini malam semalam dan membakar sebuah bas awam serta tayar hari ini.

Pekerja pejabat berhampiran tapak tunjuk perasaan diminta mengambil cuti hari ini dan perkhidmatan skytrain akan menamatkan operasi pada 4 petang (5 petang waktu Malaysia) hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain