suria

Arab Saudi Berminat Bekerjasama Dengan Malaysia Di Dalam Program Keselamatan Makanan

RIYADH: Arab Saudi telah menunjukkan minat yang mendalam mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Malaysia bagi membangunkan program keselamatan makanannya, kata Penasihat Koridor Pembangunan Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, perkara itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian Arab Saudi Dr Abdullah Al-Obaid semasa pertemuan mereka di sini.

"Kini mereka (Arab Saudi) sedang berbincang dengan Filipina, Vietnam, Turki dan Ukraine. Mereka menyambut baik kemungkinan bekerjasama dengan Malaysia di dalam bidang ini," kata bekas Perdana Menteri (PM) Malaysia itu kepada Bernama semasa pertemuan pada misi pelaburan peringkat kedua di sini.

Abdullah kini mengetuai misi pelaburan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ke Asia Barat, yang termasuk bandaraya Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu, Riyadh dan Jeddah di Arab Saudi dari 7-17 Mei.

Misi pelaburan ECERDC ini adalah susulan kepada lawatan awal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Arab Saudi pada Januari yang bertujuan menarik pelabur dari rantau Teluk serta meningkatkan hubungan perniagaan dua hala antara Malaysia dan negara-negara di Asia Barat.

Yang turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Malaysia dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Arab Saudi, Profesor Madya Datuk Syed Omar Al Saggaf.

Di dalam pertemuan berasingan dengan Dr Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan Arab Saudi Saad H Al-Hamdan, bekas PM itu berkata mereka telah membincangkan potensi projek pertanian yang akan digalakkan di bawah Dana Pelaburan Swasta Arab Saudi, yang mempunyai peruntukan 3.0 bilion riyal (100 riyal = RM82.84).

"Terdapat minat yang kukuh di dalam sektor pertanian untuk menangani kebimbangan mengenai keselamatan makanan. Ini dapat dilihat sebagai satu keperluan yang boleh dipenuhi nmelalui penggalakan projek pertanian di dalam Wilayah ekonomi Pantai Timur (ECER)," katanya.

Dengan itu, kata Abdullah beberapa langkah perbincangan susulan yang segera akan dilaksanakan untuk mengenegahkan aktiviti yang berpotensi di dalam ECER.

"Satu bidang yang dikenal pasti dengan segera ialah pengeluaran dan pembangunan ternakan," katanya. Katanya satu syarikat berminat untuk membangunkan aktiviti hiliran polimer untuk melengkapi kemudahan sedia ada di Arab Saudi, Dubai dan Brazil.

Syarikat itu, katanya merancang untruk mewujudkan satu kilang "cracker" bagi aktiviti polimer dan sekaligus "kami akan mengenal pasti minat khusus dan memadankan dengan kemudahan yang diperomosikan berdekatan Taman Polimer Kertih, yang diwujudkan di dalam hab petrokimia Kertih-Cukai-Gebeng."

Semasa pertemuan dengan Dewan Perniagaan dan Industri Riyadh, Abdullah berkata Arab Saudi telah menyatakan mereka berminat mengenal pasti syarikat Malaysia yang boleh menyediakan pengetahuan di dalam sektor petrokimia.

Abdullah berkata para pelabur Arab Saudi berminat membangunkan satu hubungan dua hala.

"Ini termasuk mengenal pasti syarikat Malaysia yang boleh dijadikan rakan untuk membangunkan pengetahun itu di Arab Saudi," katanya.

Katanya satu lagi syarikat yang berminat di dalam aktiviti perantara petrokimia iaitu etanol/baja, metanol, metana, amonia, piolietilena dan polikarbonat.

Abdullah berkata Majlis Dewan Perniagaan Arab Saudi telah mencadangkan supaya ECER dipromosikan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia Arab Saudi.

Katanya majlis itu menawarkan untuk memperkenalkan peluang pelaburan yang berpotensi kepada 200,000 anggotanya.

"Ini juga termasuk promosi ECER melalui majalah dan bantuan di dalam pengenalan kontak bagi 100 anggota utama yang boleh menjadi pelabur berpotensi," katanya.

Abdullah berkata terdapat kerjasama rapat dan saling menghormati antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Ini boleh dilihat melalui minat kukuh oleh ramai individu dan kerajaan untuk meneroka peluang di Malaysia dan di ECER," katanya.

Mengenai pelancongan, Abdullah berkata majlis itu menyatakan bahawa wujud kekurangan pendedahan mengenai Malaysia secara amnya dan mencadangkan diadakan lebih banyak peluang pelaburan di Malaysia.

"Mereka berkata persepsi semasa mengenai Malaysia ialah hanya sebagai satu destinasi pelancongan," katanya.

Katanya wujud potensi kukuh untuk mempromosikan pembangunan hartanah dan lokasi pelancongan yang boleh dibangunkan oleh para pelabur Arab Saudi di dalam ECER.

Abdullah berkata para pelabur Arab Saudi berminat di dalam produk halal, khususnya produk makanan dan bukan makanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain