Lima Dipercayai Anggota Kumpulan Pengganas Ditembak Mati - Dunia | mStar

Lima Dipercayai Anggota Kumpulan Pengganas Ditembak Mati

JAKARTA: Lima lelaki yang dipercayai anggota kumpulan pengganas yang sekian lama menjadi buruan, ditembak mati oleh Polis Indonesia dalam serbuan di Cikampek dan Cawang, Jawa Barat, hari ini.

Ketua Polis Indonesia, Jeneral Bambang Hendarso Danuri berkata, dua daripada mereka itu dikenal pasti sebagai Saptono dan Maulana.

Identiti tiga lagi anggota kumpulan itu belum dikenal pasti manakala seorang lagi anggota kumpulan itu ditangkap.

"Kumpulan pengganas itu dipercayai terlibat dalam serangan bom berani mati di Kedutaan Australia di Jakarta pada 2004 dan serangan ke atas Hotel JW Marriot dan Ritz Carlton pada Julai tahun lepas," katanya pada sidang akhbar petang ini.

Serbuan yang dijalankan sekitar pukul 3.20 petang itu turut membabitkan kejadian berbalas tembak antara polis dan anggota kumpulan itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Edward Aritonang berkata, Maulana pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia sekitar tahun 2003 hingga 2005.

Maulana juga dikatakan baru pulang ke Indonesia selepas dipercayai menjalani latihan militan di Filipina.

Menurut Aritonang, Saptono ialah adik kepada Jaja yang terbunuh dalam serbuan di Aceh baru-baru ini dan Jaja juga merupakan guru kepada Imam Samudera yang telah dihukum mati kerana kesalahan terbabit kegiatan pengganas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain