suria

Arab Saudi Lihat Malaysia Sebagai Negara Islam Paling Maju Di Dunia

RIYADH: Kagum dengan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, Arab Saudi melihat negara itu sebagai sebuah negara Islam paling maju di dunia.

Semasa menyatakan perkara ini, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Malaysia dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Persidangan Islam di Arab Saudi Profesor Madya Datuk Syed Omar Al Saggaf berkata Arab Saudi berminat untuk belajar daripada kejayaan Malaysia.

"Oleh itu mereka berharap dapat belajar daripada pengalaman Malaysia, terutamanya dari segi pengetahuan teknologi, antara lainnya, termasuk dalam sektor pertanian," katanya kepada Bernama.

"Mereka menyedari bahawa Malaysia menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam banyak bahagian dan mereka juga cuba untuk belajar daripada negara bagaimana ia berjaya membangun dan bertahan daripada krisis ekonomi global dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

Syed Omar juga menyebut contoh Malaysia berjaya menarik pelancong dalam usahanya memperkenalkan pelancongan kesihatan.

"Sebelum-sebelum ini, pelancong pergi ke Jerman bagi tujuan itu tetapi sekarang nampaknya industri tersebut semakin berkembang di Malaysia," katanya.

Syed Omar juga berkata Arab Saudi berminat untuk belajar daripada pengalaman Malaysia dalam menangani krisis kewangan global dan bagaimana ia kini berada di landasan pemulihan ekonomi. Menurut Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar tahunan 2.20 peratus pada suku lepas. KDNK negara bernilai AS$195 bilion atau 0.31 peratus daripada ekonomi dunia.

Sebagai ekonomi yang sedang pesat membangun di Asia, Malaysia, sebuah negara berpendapatan sederhana, telah berubah perlahan-lahan sejak 1970-an daripada pengeluar bahan mentah menjadi sebuah ekonomi pelbagai sektor.

Kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meneruskan usaha untuk meningkatkan permintaan domestik bagi memisahkan ekonominya daripada bergantung kepada eksport walaupun ketika ini eksportnya, terutama elektronik, masih kekal sebagai pemacu utama ekonomi.

Syed Omar berkata demikian semasa temu bual Bernama dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Penasihat Pembangunan Koridor di Malaysia.

Mantan perdana menteri itu mengetuai delegasi misi pelaburan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) ke Asia Barat termasuk Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu, Riyadh dan Jeddah di Arab Saudi dari 7-17 Mei.

Misi itu merupakan susulan kepada kunjungan terdahulu Najib ke Arab Saudi pada Januari. Turut hadir pada sesi temu bual itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John.

Syed Omar berkata kedutaan itu akan memberikan sokongan dan bantuan bagi memastikan kejayaan misi tersebut yang bertujuan menarik pelabur serta meningkatkan hubungan perniagaan dua hala dengan negara-negara Asia Barat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain