suria

Tiada Cadangan Batal Lawatan Najib Dan Abhisit Ke Narathiwat

BANGKOK: Tidak ada rancangan untuk membatalkan lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Thailand Abhisit Vejjajiva ke Narathiwat esok walaupun berlaku serangan bom dan kematian tiga orang di wilayah selatan Thailand itu semalam.

Pegawai-pegawai Malaysia dan Thailand berkata mereka tidak menerima sebarang arahan untuk mengkaji semula lawatan itu.

"Saya tidak diberitahu apa-apa tentang cadangan untuk membatalkan lawatan itu. Kita masih teruskan persiapan dan ramai anggota delegasi Malaysia sudah berada di Narathiwat," kata seorang pegawai Malaysia.

Pada 6 petang semalam, sebutir bom meletup di pasar dalam pekan Narathiwat menyebabkan seorang lelaki dan isterinya terbunuh manakala dalam satu kejadian di sebuah kampung, 70 km dari pekan Narathiwat, seorang penuntut sekolah agama mati ditembak oleh sekumpulan lelaki bersenjata.

Pasar di mana letupan bom itu berlaku terletak 1.5km dari hotel yang menjadi tempat penginapan pegawaipegawai Malaysia dan Thailand yang membuat persiapan bagi lawatan kedua-dua perdana menteri itu.

Abhisit berkata lawatannya bersama Najib ke wilayah itu amat bermakna dan merupakan satu isyarat bahawa keduadua negara mahu melihat keamanan wujud di situ.

Seorang pegawai keselamatan Thailand berkata siasatan mendapati kejadian yang berlaku di Narathiwat itu tidak ada kaitan dengan lawatan keduadua pemimpin itu.

"Ia satu kejadian biasa yang kerap berlaku di situ tetapi kami telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan," katanya.

Pegawai itu berkata serangan bom itu mungkin satu tindakan balas dendam ekoran kejadian di daerah Yarang dalam wilayah Pattani dua hari lepas apabila seorang imam ditembak mati.

Lebih 3,600 mati sejak Januari 2004 apabila kumpulan pemisah meneruskan kempen menuntut kemerdekaan bagi wilayahwilayah Narathiwat, Pattani dan Yala yang bersempadan dengan Malaysia dan mempunyai ramai penduduk Islam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain