suria

Abhisit: Tiada Kumpulan Dakwa Bertanggungjawab Bagi Keganasan Di Selatan

BANGKOK: Thailand tidak dapat mengadakan perbincangan secara langsung dengan manamana kumpulan pemisah yang berjuang bagi kemerdekaan di tiga wilayah di selatan kerana tiada pihak yang tampil setakat ini, kata Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva hari ini.

Beliau berkata adalah sukar untuk mengenal pasti kumpulan mana yang bertanggungjawab kerana tiada daripada kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di kediaman rasmi beliau, Ban Pitsanulok di sini, Abhisit berkata kerajaan pimpinan beliau lebih berminat untuk berbincang secara langsung dengan penduduk setempat dari tiga wilayah di selatan.

Apabila dimaklumkan bahawa sesetengah kumpulan pemisah seperti Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Thailand, Abhisit mengulangi yang tiada daripada mereka tampil mendakwa mengaku bertanggungjawab setiap kali kejadian keganasan berlaku di wilayah berkenaan.

Ditanya sama ada kerajaan pimpinan beliau bersedia mengadakan perbincangan dengan manamana kumpulan pemisah yang dikenal pasti dan mahu bertanggungjawab bagi tindakan mereka, Abhisit berkata beliau tidak pasti sama ada mereka mahu mengaku bertanggungjawab. BERNAMA

Artikel Lain