suria

Wanita Culik Enam Bayi Untuk Gembirakan Suami Dan Mertua

NEW DELHI: Polis menahan seorang wanita berumur 26 tahun yang tidak berzuriat yang dipercayai menculik beberapa bayi lelaki baru lahir semata-mata untuk menggembirakan suami dan mertuanya di sini Ahad lepas.

Semasa ditahan wanita itu dipercayai terlibat dalam enam kes culik bayi, dan sekurang-kurangnya seorang daripada bayi yang diculik ditemui mati, dipercayai dibuang oleh suspek di tepi jalan.

Akhbar The Asian Age melaporkan polis menemui dua daripada bayi yang diculik oleh wanita itu dan beberapa kes kehilangan bayi di kawasan berkenaan berjaya diselesaikan ekoran penahanan wanita tersebut.

Menurut polis suspek bertindak demikian kerana tidak tahan dengan penderaan oleh anggota keluarganya yang menghina beliau kerana tidak memiliki zuriat, di mana rawatan perubatan juga gagal memberikan anak untuknya.

Wanita itu merupakan seorang pelajar kolej yang terkandas pengajiannya, dan biasanya bertindak dengan bantuan seorang penarik beca berumur 38 tahun yang mensasarkan komuniti sekitar bandar raya. Menurut akhbar itu biasanya wanita berkenaan akan bertindak dengan menyamar sebagai penjual barang kemas tiruan, sebelum melarikan diri bersama dengan bayi yang baru dilahirkan di rumah mangsa, dan beliau akan terus membuang bayi yang sakit, menyimpan yang sihat.

Semasa di soal siasat polis suspek mengakui perbuatan jenayahnya dan berkata beliau melakukannya untuk menggembirakan suaminya.

Beliau ditahan di kawasan berkenaan selepas polis meningkatkan pencarian berdasarkan gambaran yang diberikan oleh ibu bapa salah seorang daripada bayi berkenaan.

Pasangan itu berkahwin hampir empat tahun, namun suspek yang tingal berasingan daripada suaminya, menetap bersama kakaknya, menurut laporan Asian Age. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain