suria

Tabung Haji ambil langkah elak jemaah haji sesat di Mekah

MEKAH: Tabung Haji akan meletakkan tanda arah di kawasan strategik di kota Mekah bagi mengelakkan jemaah haji daripada tersesat jalan ketika hendak pulang ke tempat penginapan masingmasing terutamanya setelah melakukan ibadah di Masjidil Haram.

Timbalan ketua rombongan haji Malaysia Datuk Kamaruddin Ali berkata papan tanda arah itu akan diletakkan di tempat yang strategik dan senang untuk dilihat oleh jemaah haji terutamanya yang telah berusia.

"Cara itu akan memudahkan seseorang jemaah untuk menuju semula ke maktab (tempat penginapan) masingmasing setelah selesai bersolat atau melakukan ibadah lain di Masjidil Haram," katanya kepada pemberita selepas berjalan kaki bersama petugas tabung haji melawat ke beberapa maktab yang akan menempatkan para jemaah haji Malaysia di kota suci Mekah.

Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia akan memasuki kota Mekah secara berperingkat mulai lewat malam ini dan kesemua mereka di jangka tiba di Mekah pada 21 November depan iaitu lima hari sebelum wukuf di Padang Arafah.

Mengenai lawatan itu, Kamaruddin yang juga Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji berkata ia bertujuan mendedahkan kepada petugas Tabung Haji terutamanya yang baru bertugas tentang lokasi kesemua 10 maktab Tabung Haji di Mekah bagi memudahkan usaha menghantar pulang jemaah haji yang tersesat ke maktab masing-masing.

Beliau berkata oleh kerana lokasi setiap maktab adalah berbeza, maka adalah penting bagi setiap petugas Tabung Haji untuk mengenal pasti lokasi setiap maktab bagi memudahkan usaha membantu jemaah haji yang tersesat jalan.

Katanya Tabung Haji terpaksa menyewa bangunan di lokasi yang berbeza setelah pihak berkuasa Arab Saudi meroboh bererapa buah hotel berhampiran Masjidil Haram yang dahulunya menempatkan jemaah haji Malaysia.

Kamaruddin berkata setiap maktab mempunyai perkhidmatan yang serupa dan jemaah haji boleh menggunakan perkhidmatan di mana-mana maktab sekiranya ada keperluan seperti rawatan kesihatan dan pengeluaran wang dari akaun Tabung Haji. BERNAMA

Artikel Lain