suria

Indonesia jamin keselamatan pelajar Malaysia

JAKARTA: Indonesia memberi jaminan bahawa keselamatan lebih 6,000 pelajar Malaysia di pelbagai universiti di sini akan sentiasa di pantau supaya tidak diganggu oleh mana-mana pihak berkepentingan sempit, kata Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia yang baru Andi Alfian Mallaranggeng.

Katanya hal ini lebih diberi perhatian di tengah-tengah kemunculan pelbagai isu sensitif yang sengaja ditimbulkan oleh pihak berkepentingan politik tertentu yang memanfaatkan keadaan politik di Indonesia untuk kepentingan mereka.

"Kami dari pemerintah Indonesia menjamin keselamatan warga negara Malaysia di sini terutama belia-belia pelajar yang belajar di sini dan sekali gus tinggal di sini," katanya selepas menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Malaysia Datuk Ahmad Shabery Cheek di pejabatnya di sini hari ini.

Andi begitu gembira menerima kunjungan Shabery, yang merupakan rakan sejawatannya dari negara asing yang pertama mengunjunginya selepas beliau dilantik menjadi menteri dalam Kabinet Indonesia Bersatu II oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Andi menegaskan bahawa Indonesia adalah negara undangundang sehingga sesiapapun yang melanggar undang-undang termasuk yang mengganggu pelajar Malaysia dan rakyat Malaysia yang lain di sini, pasti akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya fikir, mungkin kerana situasi politik di Indonesia saat ini, ada yang memanfaatkan situasi politik untuk kepentingan politik tertentu. Namun jelas dari pada kenyataan presiden, siapa pun yang berada di wilayah negara Indonesia dilindungi oleh negara," katanya.

Beliau, yang sebelum ini merupakan jurucakap Presiden Susilo, malah membuka pintu pejabatnya kepada para pelajar Malaysia untuk mengadu langsung jika menghadapi masalah dan ancaman, namun setakat ini belum pernah ada aduan dikemukakan.

Shabery pula berkata lawatan kerja dan perjumpaannya dengan para pelajar Malaysia di Bandung dan Jakarta selama dua hari, mendapati mereka semua gembira tinggal dan belajar di sini, malah boleh menjalankan aktiviti khidmat masyarakat tanpa sebarang gangguan.

"Melalui Bapak Andi, saya menyampaikan terima kasih kepada pemerintah dan rakyat Indonesia di atas peluang menimba ilmu pengetahuan di Indonesia, yang banyak kelebihannya, yang telah didapati oleh mahasiswa Malaysia," katanya, yang menambah bahawa mereka akan meneruskan kuliah di sini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Andi di atas pelantikannya sebagai menteri, Shabery berharap mereka akan lebih bersemangat membina dan menjalin hubungan antara belia kedua-dua negara supaya sentiasa akrab dan saling memahami. "Masa depan hubungan Indonesia dan Malaysia banyak bertumpu kepada para belia. Jika belia kita dibina untuk terus akrab dan saling memahami, menghayati bahawa kita adalah saudara, kita adalah tetangga yang perlu membangun bersama, sudah tentu hubungan kita akan lebih cerah," katanya.

Andi yang menganggap kunjungan Shabery sebagai penghormatan yang tinggi kepadanya kerana lawatan itu yang pertama oleh menteri dari negara jiran.

"Ini tentunya satu kehormatan untuk menerima beliau di sini dan membicarakan pelbagai hal mengenai hubungan kedua negara terutama mengenai kerjasama pemuda dan olahraga," katanya.

Antara isu lain yang dibincangkan, menurut Andi harapan Indonesia supaya Malaysia juga turut mengambil berat dan memastikan perlindungan terhadap rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

"Indonesia berusaha menjaga persahabatan dengan Malaysia, kerana Indonesia dan Malaysia saling memerlukan," katanya.

Shabery berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas pertemuan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain