suria

Asia Timur perlu model ekonomi baru, kata Najib

HUA HIN: Asia Timur, yang dijangka menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi dunia dalam masa terdekat, memerlukan model ekonomi yang baru, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya rantau ini sebagai tapak pengilangan untuk barangan eksport ke negaranegara barat tidak mampan.

"Penting untuk melihat sumber pertumbuhan baru yang meningkatkan kelas berpendapatan menengah dan pendapatan bersih sosial," katanya pada sidang media selepas tamatnya Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini.

Najib, yang tiba di sini Jumaat, berlepas pulang dari Lapangan Terbang Hua Hin.

Menurut Perdana Menteri, tanggapan bahawa abad ke21 akan menjadi "Asian Century" semakin ketara apabila Asia Timur membantu proses pemulihan ekonomi global.

Katanya Sidang Kemuncak Asean ke15 dan Sidang Kemuncak Berkaitan membawa keputusan positif dan menjadi penanda aras dalam matlamat Asean untuk mencapai matlamat Komuniti Ekonomi Asean menjelang 2015.

Najib berkata anggota-anggota Sidang Kemuncak Asia Timur iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, India dan New Zealand juga mahu melihat ekonomi mereka lebih berintegrasi dengan Asean.

Mengenai Komuniti Asia Timur dan Komuniti Asia Pasifik, yang masingmasing dicadangkan oleh Jepun dan Australia, Najib berkata tiada keputusan mengenainya dibuat oleh para pemimpin tetapi satu kajian mendalam akan dibuat terlebih dahulu.

"Kita tidak menolak apa-apa yang membantu kesejahteraan dan kemakmuran Asia dan Asia Pasifik," kata beliau.

Mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan, 2010, Najib berkata Malaysia komited untuk merealisasikannya dan kini hanya tinggal 89 produk yang masih belum dimansuhkan tarif.

Mengenai kesediaan Malaysia membantu Thailand menyelesaikan masalah keganasan di selatan Thai, Najib berkata ia akan dibincangkan semasa rundingan tahunan yang akan diadakan di Bangkok Disember ini dan lawatan bersama dengan rakan sejawatannya Abhisit Vejjajiva ke wilayah situ.

"Kita akan bagi pandangan dan nasihat. Tidak semestinya mereka terima," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain