suria

Britain usir tiga rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Britain mengusir tiga rakyat Malaysia, termasuk dua wanita, yang ditangkap pada 16 Oktober kerana bekerja secara haram di sebuah restoran Cina di Nottinghamsire.

Kenyataan Suruhanjaya Tinggi Britain berkata ketigatiga mereka yang berusia dalam lingkungan 30 tahun itu, dihantar pulang ke Malaysia seminggu selepas ditangkap di Good Good Chinese Cantonese Takeaway.

Lelaki terbabit berusia 35 tahun, manakala seorang daripada wanita yang diusir itu, yang juga berusia 35 tahun, adalah tunangnya.

Bagaimanapun, nama mereka tidak dinyatakan.

Mereka antara empat rakyat asing yang ditahan dalam satu serbuan oleh para pegawai imigresen. Seorang lagi ialah warga China.

Kenyataan itu berkata restoran berkenaan boleh dikenakan denda hingga 40,000 pound British (RM224,000)kerana menggunakan khidmat pekerja tanpa izin.

"Kami telah menangkap berpuluh pekerja tanpa izin sejak beberapa bulan lepas dan mengenakan denda berpuluh ribu pound terhadap syarikat yang menggunakan khidmat pekerja tanpa izin," kata Phil Dyer, ketua pasukan imigresen kawasan East Midlands, Agensi Sempadan UK, yang dipetik oleh kenyataan itu. BERNAMA

Artikel Lain