suria

Susilo pilih Malaysia negara pertama dilawati dalam penggal keduanya

JAKARTA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono telah membuat keputusan tepat pada hari pelantikannya sebagai presiden bagi penggal kedua 2009-2014 hari ini untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang akan dilawatinya.

Perdana Menteri berkata Susilo memaklumkan sendiri hasrat itu kepadanya untuk menandakan keakraban hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Indonesia yang tidak pernah beliau ragukan.

Najib memberitahu wartawan Malaysia di sini bahawa beliau sendiri mengambil keputusan untuk hadir pada majlis pemahsyuran dan angkat sumpah jawatan Susilo di sini hari ini, juga sebagai tanda persahabatan yang akrab antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

"Dan kehadiran saya amat dialu-alukan dan diterima dengan hati tulus ikhlas presiden SBY sendiri.

"Selain mengucapkan ribuan terima kasih, beliau juga memaklumkan kepada saya, sebagai bukti untuk menandakan perkara yang sama, beliau telah membuat keputusan supaya Malaysia menjadi negara pertama beliau lawati sebagai presiden dalam penggal kedua ini. Tarikhnya telah ditetapkan pada 11 Nov ini," kata Perdana Menteri. Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Luar Datuk Anifah Aman, berada di sini untuk menyaksikan istiadat pelantikan Susilo dan Naib Presiden Boediono di gedung Parlimen Indonesia di sini pagi ini.

Katanya, dalam aturcara hari ini tidak ada kesempatan baginya untuk membincangkan sebarang isu dua hala mahupun pelbagai hala dengan Susilo, seperti juga antara Presiden Indonesia itu dengan pemimpinpemimpin negara lain yang turut hadir.

Menjawab satu soalan, Najib berkata beliau tidak menganggap hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai 'pasang surut' kerana daripada segi kerajaan kedua-dua negara hubungannya sentiasa konsisten, akrab dan baik.

"Malah sepanjang masa, kita sentiasa berusaha mencari jalan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan menyelesaikan dengan baik apa juga masalah yang timbul," katanya. Najib berkata yang menjadi masalahnya ialah hubungan di peringkat rakyat yang disebabkan oleh segelintir kecil orang yang tindak tanduk mereka mendapat sebaran meluas oleh media massa.

"Inilah yang menyebabkan dari segi persepsi seolaholah kita menjurus kepada hubungan yang tegang tetapi pada hakikatnya dari segi kepimpinan kedua-dua negara boleh dikatakan sentiasa berada di tahap yang begitu baik dan selesa," katanya.

Najib berlepas pulang ke tanah air malam ini. BERNAMA

Artikel Lain