suria

Pemerintah pasukan khas 16 negara bincang langkah banteras keganasan

SINGAPURA: Kira-kira 350 wakil angkatan tentera dan pelbagai agensi pencegahan keganasan dari 16 negara menghadiri persidangan tiga hari mengenai Pemerintah Pasukan Khas anjuran Angkatan Tentera Singapura (SAF)yang bermula di sini hari ini.

Berucap merasmikan persidangan itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Singapura Teo Chee Hean berkata "dengan berbekalkan kemahiran khusus dan peralatan canggih, Pasukan Khas mempunyai tugas penting dalam menangani cabaran hebat daripada ancaman yang kompleks dan pelbagai rupa, termasuk keganasan dan pelanunan".

Pada persidangan yang bertemakan "Peranan dan Cabaran Pasukan Khas Dalam Landskap Keselamatan Yang Sentiasa Berubah" itu, para peserta berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan taktik yang digunakan dalam operasi khas serta langkah menentang keganasan.

Sempena persidangan itu, seminar dan pameran mengenai keupayaan SAF dalam menentang keganasan serta peralatan yang digunakan dalam operasi khas, turut diadakan.

Persidangan yang diadakan bersempena Mesyuarat Pelbagai Hala Panglimapanglima Angkatan Tentera Asean Ke-10 dan Pertandingan Menembak Rifal Tentera Asean ke-19 itu bertujuan meningkatkan persefahaman dalam kalangan pemerintah Pasukan Khas dan mengukuhkan kerjasama dalam menentang keganasan. BERNAMA

Artikel Lain