suria

Warga Indonesia di Malaysia sambut kemerdekaan bersama harapan

KUALA LUMPUR: Tiada yang diharapkan warga Indonesia yang menetap di Malaysia selain mahu melihat negaranya yang menyambut ulang tahun ke-64 kemerdekaan hari ini terus mengecapi keamanan hasil daripada kestabilan politik dan ekonomi.

Menurut Latif Supri, 44, yang bekerja sebagai kontraktor di Malaysia sejak 25 tahun lepas, kemerdekaan tahun ini amat bermakna buat rakyat Indonesia selepas mereka bergelut dengan pelbagai permasalahan termasuk soal keselamatan yang ditimbulkan pengganas di negara itu.

"Sememangnya keamanan yang diharapkan, kita tidak mahu lagi hidup dibayangi keganasan, pastinya pemerintah ada cara terbaik untuk menanganinya. Selain itu rakyat Indonesia mahukan ekonomi yang stabil, jadi mereka tidak perlu lagi keluar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Perkara itu turut dikongsi bersama Annaba Ghassani, 16, yang mahu semua golongan mengambil semangat merdeka untuk memajukan negara.

"Kita ambil semangat kemerdekaan ini untuk majukan negara, pelajar perlu timba ilmu kemudian nanti boleh samasama bantu, Kita sudah lama merdeka, saya harap tidak ada lagi pihak yang menyakiti manusia lain dan harap Indonesia bebas daripada ancaman dalam dan juga luar," katanya.

Annaba, yang berasal dari Sumatera Barat adalah antara pelajar Sekolah Indonesia Kuala Lumpur yang terlibat dalam Upacara Menaikkan Bendera Hari Ulang Tahun Ke-64 Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia yang diadakan di Wisma Duta di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia Tan Sri Da'i Bachtiar yang dihadiri lebih 500 warga Indonesia yang menetap di sekitar Lembah Klang. Bachtiar berharap agar warga Indonesia seramai 1.2 juta orang yang bekerja di Malaysia turut sama memperingati hari bersejarah itu.

"Mari kita memperingati hari kemerdekaan kali ke64 Republik Indonesia agar betulbetul membawa semangat kita ke depan, apa lagi setelah selesainya Pemilu (Pemilihan umum), kita sudah memilih Presiden dan warga Presiden. Harapan kita semua tentu agar pemimpin baru ini membawa Indonesia lebih cepat lagi mensejahterakan bangsa ini.

"Ada 1.2 juta warga Indonesia di Malaysia terutama di Semenanjung. Diharapkan hubungan Malaysia dan Indonesia dalam segala bidang akan lebih maju, lebih baik dan lebih kuat lagi pada masa akan datang," kata Bachtiar. BERNAMA

Artikel Lain