suria

Polis Indonesia tak terpengaruh dakwaan di blog

JAKARTA: Polis Indonesia semalam berkata ia tidak akan terpengaruh dengan kemunculan blog peribadi di internet yang menampilkan pihak yang mengaku kononnya bertanggungjawab terhadap kejadian letupan bom di Hotel JW Marriot dan Ritz Carlton 17 Julai lepas yang mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan lebih 50 yang lain.

Ketua Bahagian Perhubungan Masyarakat Polis Indonesia Sulistyo Ishak berkata maklumat dalam blog peribadi yang mendakwa bahawa ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap ledakan bom itu masih disiasat polis.

Beliau berkata polis tetap berpegang pada penyiasatan secara ilmiah dengan bertindak ke atas semua pelaku, termasuk mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam pembuatan blog peribadi itu.

"Kami tidak terpengaruh dengan pengakuan yang belum pasti," kata beliau sebagaimana yang dipetik agensi berita Antara di sini, semalam. Dalam laman peribadi www.mediaislambushroblogspot.com, pihak yang mengaku diri sebagai "Tandzim Al Qo'idah Indonesia" berkata letupan bom di kedua-dua hotel itu dilakukan oleh anggotanya.

Blog itu juga mengatakan bahawa sasaran letupan adalah orang asing di kedua-dua hotel itu, yang dilancar sebagai balasan ke atas apa yang dilakukan Amerika terhadap kaum muslimin di seluruh dunia, di samping sebagai pengajaran buat umat Islam kerana membawa kelab bola sepak Manchester United ke hotel itu.

Ia turut mendakwa bahawa pemimpin mereka ialah Abu Mu'awwidz Nur Din Muhammad Top. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain