MUNYONYO (Uganda): Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkongsi cara Malaysia menangani krisis ekonomi dan kewangan global, dengan Afrika.Dilengkapi pengalaman mengatasi krisis kewangan 1997/1998, beliau dengan petah menggariskan kaedah pemulihan ekonomi Malaysia dalam satu sesi intervensi pada Dialog Perkongsian Pintar Global yang sedang berlangsung di sini. Sesi itu dihadiri oleh ketuaketua kerajaan, termasuk Presiden Uganda, Yoweri Museveni, dan rakan perkongsian pintar yang lain.Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia telah melaksanakan tindakan proaktif dengan memperkenalkan langkah-langkah penstabilan dan pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$16.76 bilion, bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi global semasa.Beliau berkata langkahlangkah proaktif itu, antara lain, bertujuan mengurangkan pengangguran di samping menambah peluang-peluang pekerjaan dan meringankan beban rakyat, khususnya golongan yang mudah terjejas."Kerajaan juga mahu membantu sektor swasta dalam menghadapi krisis ini dan membina keupayaan ekonomi bagi masa hadapan," kata beliau.Muhyiddin berkata kerajaan juga telah mengumumkan langkah-langkah liberalisasi bagi sektor kewangan dan 27 sektor kecil perkhidmatan, melibatkan perkhidmatan kesihatan, sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan serta komputer dan perkhidmatan berkaitan.Beliau berkata objektif langkah-langkah pelonggaran itu ialah untuk mewujudkan nilai yang lebih tinggi dalam peluang pekerjaan."Kerajaan juga menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Majlis itu sering bermesyuarat untuk menangani semua isu global serta mengadakan langkah-langkah untuk mengatasi isu yang menjejaskan ekonomi," tegas beliau.Dalam usaha mencapai Wawasan 2020, katanya, Malaysia yakin pengurusan pengetahuan merupakan alat yang berkesan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan bagi warga negara Malaysia."Dalam hubungan ini, Malaysia mewujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI), bertujuan mengurangkan karenah birokrasi, sebagai asas bagi mengukur bekerkesanan prestasi perkhidmatan awam," kata Muhyiddin.Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan menubuhkan PEMUDAH, satu pasukan petugas untuk mengatasi karenah birokrasi dalam urusan perniagaan kerajaan, sekali gus meningkatkan kerjasama antara sektor awam dengan sektor swasta."Ia juga mempermudah sektor swasta dalam operasi perniagaan," jelas beliau.Menyentuh tentang kerjasama serantau dengan negara-negara lain dalam Pertumbuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), beliau berkata setakat ini perkumpulan itu telah melaksanakan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan China, Korea dan Jepun.Muhyiddin menambah kata bahawa kewujudan tadbir urus yang jelas dan telus dalam operasi pasaran kewangan global amat penting bagi memastikan pengagihan kekayaan yang sama rata antara yang miskin dengan yang kaya. BERNAMA