suria

Selatan Thai berbeza pendapat mengenai pelanjutan dekri darurat

BANGKOK: Rakyat di wilayah bergolak di Selatan Thai berbeza pendapat mengenai isu pelanjutan dekri darurat yang kontroversi, dengan lebih 80 peratus penduduk Islam mahu ia dihapuskan manakala masyarakat Budha, agensi keselamatan dan pegawai awam ingin ia dikekalkan.

Keputusan awal kajian komprehensif oleh Deep South Watch (DSW), Prince of Songkhla University yang dibuat berdasarkan kajian kumpulan bebas yang memantau konflik itu, menunjukkan majoriti penduduk Islam tidak bersetuju dengan dekri itu kerana mereka merasakan ia membolehkan pasukan keselamatan menggunakan pendekatan keras untuk menangani kekacauan.

Pembantu pensyarah Srisomphob Jitrphiromsri, pengarah DSW yang berpangkalan di Pattani berkata masyarakat Islam merasakan dekri itu membolehkan tentera mengangkap orang yang tidak bersalah, terutama semasa operasi pembersihan di mana penduduk kampung biasanya ditangkap di rumah mereka pada tengah malam dan ditahan sehingga 37 hari.

"Walaupun kebanyakan mereka dibebaskan, ia memberi kesan kepada kehidupan harian mereka. Ia memberikan pandangan negatif kepada mereka yang ditahan," katanya dalam temubual di sini, yang turut menjelaskan soal selidik kajian itu diedar kepada lebih 2,000 orang di Yala, Pattani dan Narathiwat dalam tempoh sebulan setengah lepas.

Srisomphob berkata DSW, yang dilantik kerajaan untuk menjalankan kajian sebelum Kabinet mengkaji semula dekri itu bulan ini, turut mengadakan bengkel dan temubual secara mendalam dengan kumpulan berbeza yang mewakili tentera, polis, kakitangan awam, ahli perniagaan, pemuda, wanita, pemimpin agama Islam dan Budha Thai.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, yang berjanji untuk membawa keadilan, keamanan dan kestabilan kepada wilayah itu, memberitahu satu seminar mengenai selatan pada Selasa bahawa kerajaan tidak akan melanjutkan secara automatik dekri darurat dan mungkin memperkenalkan undangundang yang lebih ringan daripada undang-undang tentera.

"Kami telah dua kali melanjutkan dekri itu. Ketika pertama kali ia sampai kepada kami (Kabinet), kami baru hanya dua minggu memerintah dan kami tiada pilihan. Ketika ia tiba untuk kajian kali kedua, kami meminta mereka membuat kajian, kami nilai situasi itu dan dengan bukti yang disertakan, kami melanjutkannya tetapi kini kami meminta badan bebas untuk membuat kajian," katanya.

Srisomphob berkata ketika masyarakat Islam menentang langkah melanjutkan dekri itu, agensi keselamatan, kakitangan awam dan masyarakat Budha mahu ia diteruskan kerana ia memberi lebih perlindungan dan menjadi alat untuk menjalankan operasi.

"Masyarakat Budha percaya dengan adanya dekri itu, mereka lebih dilindungi dan peluang pemberontak melakukan serangan ke atas mereka terhad. Mereka fikir kehidupan akan menjadi lebih baik dengan adanya dekri darurat itu, dan ini bertentangan dengan kemahuan masyarakat Islam," katanya.

Beliau berkata pasukan keselamatan merasakan dekri itu membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan dalam menangani keganasan harian.

Pegawai polis dan tentera memberitahu seminar itu bahawa terdapat 7,000 hingga 9,000 pemberontak, dengan 274 daripada 2,200 kampung dianggap kawasan merah.

"Mereka boleh menahan suspek sehingga tujuh hari di bawah undangundang tentera dan 30 hari lagi di bawah dekri darurat.

"Ini membolehkan mereka mengendalikan soal siasat dan mendapatkan lebih banyak maklumat, sedangkan di bawah undang-undang jenayah biasa, seseorang suspek boleh ditahan hanya untuk 24 jam dan mereka berhak mendapatkan peguam," katanya.

Beliau berkata dengan adanya dekri dan operasi pembersihan, tahap keganasan menurun.

"Tetapi ia boleh juga disebabkan terdapat 60,000 anggota tentera memberi tumpuan penuh di tiga wilyah itu. Pihak tentera juga berkata mereka mempunyai 759 markas dan pos pemeriksaan di seluruh wilayah terbabit, jadi ia mengurangkan tahap keganasan," katanya.

Kerajaan di bawah pimpinan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra melaksanakan dekri darurat sejak 19 Julai 2005 untuk menangani kumpulan pemisah yang mencetuskan keganasan setiap hari.

Sejak itu, dekri berkenaan, yang memberikan agensi keselamatan meluaskan kuasa untuk menangkap dan menahan suspek serta memberikan mereka imuniti dari pendakwaan, dikaji semula setiap tiga bulan.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak Januari, 2004 apabila kumpulan pemisah menggerakkan semula kempen bersenjata untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Thailand membelanjakan 109 bilion baht sejak lima tahun lepas untuk menangani pemberontakan itu. BERNAMA

Artikel Lain