suria

Bangkai pesawat Yemen Air berjaya dikesan

MORONI: Bangkai kapal terbang Yemen Airbus yang terhempas di Kepulauan Comoros Lautan India berjaya dikesan, kata jurucakap rasmi bagi kerajaan Comoros kepada AFP hari ini.

"Pesawat pengesan yang terbang rendah berdekatan kawasan kejadian. Juruterbang pesawat berkenaan berjaya mengenalpasti lokasi sebenar kapal terbang itu terhempas," kata Setiausaha Agung kerajaan, Nourdine Bourhane.

Mayat mangsa pesawat tersebut mula dikeluarkan.

66 dari 153 penumpang pesawat terbabit terdiri daripada warga Perancis.

Kapal terbang bawa 153 penumpang terhempas di Comoros

MORONI: Sebuah pesawat penumpang dari Yaman yang membawa seramai 153 orang terhempas di Kepulauan Comoros Lautan India hari ini.

"Pesawat tersebut membawa 153 orang penumpang dan telah disahkan terhempas tetapi kami masih belum mengetahui kedudukan sebenar pesawat itu...ia mungkin berada di sekitar Mitsamiouli," kata Timbalan Presiden, Idi Nadhoim.

Jurucakap lapangan terbang di Paris berkata penerbangan pesawat Yaman itu berlepas dari Paris pada pagi Isnin sebelum mendarat di Yaman dan kemudian berlepas ke Moroni.

"Mungkin kegagalan pesawat tersebut untuk melakukan pendaratan dengan baik menyebabkan ia terhempas,"

"Cuaca tidak begitu baik dan laut sangat bergelora," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Hamid Bourhane memberitahu pasukan tentera telah menghantar bot laju ke kawasan diantara perkampungan Ntsaoueni dan lapangan terbang.

"Setakat ini kami belum lagi mempunyai maklumat mengenai penumpang yang terselamat," katanya.

Seorang pegawai dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berada di lapangan terbang Moroni berkata menara kawalan telah menerima panggilan bahawa sebuah pesawat akan mendarat tetapi terputus komunikasi selepas itu.

51 peratus saham syarikat penerbangan Yemenia dimiliki oleh kerajaan Yaman dan 49 peratus lagi oleh kerjaan Arab Saudi.

Syarikat penerbangan itu mempunyai dua Airbus jenis 330-200s, empat Airbus 310-300s dan empat Boeing 737-800s, lapor laman web syarikat itu.

Kepulauan Comoros meliputi tiga pulau volkano iaitu, Grande Comore, Anjouan dan Moheli di selat Mozambique dan terletak 300 kilometer di barat laut Madagascar.

Sebelum ini, sebuat pesawat penumpang dari Ethiopia Beiong 767 yang dirampas pada tahun 1996 telah terhempas di pulau Comoros yang mengorbankan 125 daripada 175 penumpang dan krew. REUTERS

Artikel Lain