suria

Singapura catat kes tertinggi H1N1 dengan 145 kes baru

SINGAPURA: Singapura semalam mengesahkan 145 kes baru Influenza A (H1N1), yang tertinggi dilaporkan dalam sehari sejak wabak tersebut dikesan di negara ini kirakira sebulan lalu.

Namun Kementerian Kesihatan Singapura berkata keadaan kes adalah pada tahap sederhana walaupun jumlah mereka yang dijangkiti meningkat.

Dengan jumlah yang dilaporkan, jumlah keseluruhan kes yang disahkan di Singapura sehingga sekarang ialah sebanyak 599 kes.

Kementerian itu menasihati orang ramai untuk meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa dan mematuhi peraturan menjaga kesihatan diri setiap masa.

Ia juga berkata selain 145 kes baru itu, terdapat 77 kes menunggu untuk disiasat semalam.

Daripada 222 kes itu, 117 telah disiasat yang terdiri daripada 94 kes tempatan dan 23 kes import sementara yang selebihnya sebanyak 105 masih sedang disiasat.

Sebanyak 94 kes tempatan melibatkan 19 pelajar Republic Polytechnic, lapan pelanggan kelab malam, dua dari kem Pulau Tekong dan seorang dari kluster Maju Camp.

Sebagai tambahan, terdapat tiga kluster baru, satu dari Clementi Camp yang mengandungi 43 kes baru dan dua kes terdahulu yang bukan mempunyai kaitan dengan wabak, satu dari Police Coast Guard yang mengadungi tiga kes baru dan satu kes terdahulu yang tidak mempunyai kaitan dan yang terakhir daripada kumpulan sosial yang mengandungi satu kes baru dan tiga kes sebelum ini yang tidak mempunyai kaitan dengan wabak. BERNAMA

Artikel Lain