suria

4 negara lagi sah dijangkiti virus influenza A (H1N1)

KUALA LUMPUR: Kes jangkitan selesema babi di seluruh dunia terus meningkat dengan empat negara lagi disahkan mencatat jangkitan virus itu, menjadikan 29 negara melaporkan secara rasmi kes jangkitan virus Influenza A (H1N1).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan empat negara baru yang mencatat kes itu ialah Argentina (satu kes), Australia (satu kes), Jepun (tiga kes) dan Panama (dua kes).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataan di sini hari ini berkata, WHO juga mengesahkan jumlah kes di seluruh dunia kini meningkat kepada 3,440 kes dengan 48 kematian.

Beliau berkata, Malaysia masih bebas daripada jangkitan wabak itu dan sehingga pukul 12 tengah malam semalam, empat kes yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buluh bagi tujuan siasatan dan pemerhatian disahkan negatif wabak itu.

Sehingga semalam, sebanyak 2,343 penumpang dari 14 penerbangan telah disaring di pintu masuk udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA) dan Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 320 penumpang diperiksa pasukan kesihatan dan dua kes dirujuk ke hospital.

Dr. Ismail berkata, WHO masih mengekalkan tahap amaran Influenza Pandemik pada Fasa 5, dan tidak menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh mana-mana negara bagi pelindungan kesihatan antarabangsa.

Bagaimanapun, adalah penting untuk orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan terutama demam, batuk, selsema dan sakit tekak untuk menangguhkan lawatan antarabangsa, manakala mereka yang mengalami tanda berkenaan dari lawatan antarabangsa perlu mendapatkan rawatan, katanya.

Beliau berkata, tiada risiko mendapat jangkitan virus influenza A(H1N1) jika daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul.

Virus influenza A(H1N1) atau selesema babi mula dikesan di Mexico pada 29 April. BERNAMA

Artikel Lain