suria

Peluru tentera diguna serang hartawan media Thailand

BANGKOK: Peluru tentera digunakan dalam cubaan membunuh hartawan media Thailand Sondhi Limthongkul minggu lepas, kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Anupong Paojinda pada Khamis.

Anupong memberitahu media tempatan bahawa kelongsong peluru senapang M16 yang ditemui di tempat kejadian adalah sama dengan yang digunakan oleh Bahagian Sembilan Divisyen, yang tertakluk di bawah penyeliaan bahagian Tentera Pertama.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah sukar untuk menentukan daripada unit tentera mana peluru itu datang dan siasatan sedang dilakukan.

Media tempatan melaporkan bahawa selongsong itu mempunyai tanda huruf awal Tentera Diraja Thailand dan nombor siri itu menunjukkan ia telah diedarkan kepada bahagian Tentera Pertama.

Sondhi, yang mengetuai tunjuk perasaan bagi menyingkirkan tiga perdana menteri Thailand dalam tempoh kurang tiga tahun, serta penutupan dua lapangan terbang di Bangkok, cedera dalam cubaan bunuh Jumaat lepas.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 5 pagi apabila kereta Sondhi diserang hendap oleh lelaki tidak dikenali yang melepaskan tembakan daripada senjata automotik, mencederakan hartawan dan pemandunya.

Cubaan membunuh itu berlaku beberapa hari selepas rusuhan di ibu negara yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaan berbaju merah yang menyokong bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra bertempur dengan askar dalam usaha mereka memaksa Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva meletak jawatan dan menyebabkan pembatalan Sidang Kemuncak ASEAN + 6 di Pattaya.

Anak Sondhi mendakwa bahawa seorang ahli politik yang diharamkan, yang sebelum ini begitu akrab dengan Thaksin tetapi kini menyokong kerajaan pimpinan Abhisit, merupakan dalang cubaan pembunuhan itu.

Sondhi, yang mengendalikan televisyen kable ASTV dan pengurus akhbar, mengepalai perhimpunan besarbesaran di ibu negara pada 2006 yang menyebabkan pihak tentera menggulingkan Thaksin pada September tahun yang sama.

Apabila sekutu Thaksin memenangi pilihan raya yang dikendalikan tentera pada 2007, Sondhi memimpin Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) kembali mengadakan tunjuk perasaan di jalanan.

Dalam tempoh enam bulan tunjuk perasaan oleh kumpulan berbaju kuning, PAD merampas Rumah Kerajaan, menutup dua lapangan terbang utama di Bangkok dan menyaksikan dua perdana menteri Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat melepaskan jawatan.

Abhisit dan parti Democrat pimpinannya mendapat keuntungan daripada krisis berkenaan, memperoleh sokongan yang mencukupi di Parlimen tahun lepas untuk menjadi perdana menteri ke-27 tetapi beliau lebih dilihat sebagai pemimpin yang tidak sah oleh penyokongpenyokong Thaksin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain