suria

Polis India siasat laporan pelakon kanak-kanak filem Oscar dijual

MUMBAI: Polis India sedang menyiasat dakwaan akhbar tabloid Britain bahawa kanak-kanak berusia sembilan tahun yang membintangi filem Oscar Slumdog Millionaire cuba dijual oleh keluarganya sebagai anak angkat.

Dakwaan sedemikian telah merumitkan lagi kehidupan keluarga kanak-kanak yang menjadi tumpuan sejak filem tersebut mencatatkan sejarah dengan kutipan lebih RM1 bilion (AS$300 juta).

Khurshid Begum, ibu kanak-kanak berkenaan Rubina Ali yang membintangi filem itu, telah membuat laporan kepada polis Mumbai kelmarin selepas News of the World melaporkan bapanya sedang berusaha untuk menjual Rubina sebagai anak angkat.

Akhbar itu melaporkan urusan menjual Rubina telah ditawarkan kepada pemberita akhbar berkenaan yang menyamar sebagai warga berada dari Asia barat.

Akhbar itu yang dimiliki oleh News International Ltd., anak syarikat News Corp., yang turut memiliki Fox Searchlight Pictures - pengedar filem tersebut, melaporkan bapa Rubina, Rafiq Qureshi telah menuntut 20 juta rupee (kira-kira AS$400,000).

"Mereka harus dikenakan hukuman," kata Khurshid selepas bertengkar dengan ibu tiri Rubina.

"Tiada bapa yang patut menjual anak perempuan mereka," katanya.

Polis telah menyoal siasat Rafiq dan Rubina. AP

Artikel Berikut

Artikel Lain