suria

Keputusan mengenai perintah Darurat dalam masa terdekat - Abhisit

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva pada Isnin berkata perintah darurat selama seminggu di bandar raya ini dan lima wilayah berhampiran akan ditarik balik dalam masa terdekat tetapi tidak memberi tarikh sebenar penarikan itu.

Beliau berkata kerajaan sekarang ini sedang menilai keadaan, termasuk memuktamadkan kes jenayah dan saman undang-undang yang difailkan pihak berkuasa terhadap mereka yang terlibat dalam rusuhan yang berlaku di Bangkok baru-baru ini.

"Saya akan menarik balik perintah darurat dalam masa terdekat sebaik sahaja saya menyelesaikan beberapa lagi perkara," katanya kepada wartawan tempatan.

Perintah darurat diisytiharkan pada 12 April selepas penyokong kumpulan berbaju merah, yang memihak kepada bekas perdana menteri disingkirkan Thaksin Shinawatra, menyerbu masuk tempat penganjuran Sidang Kemuncak Asean di Pattaya menyebabkan sidang berkenaan dibatalkan.

Ia dijangka diadakan semula di Phuket pada Jun.

Sehari kemudian, ribuan penunjuk perasaan bertempur dengan anggota tentera dan penduduk tempatan di sini, menyebabkan dua orang terkorban dan lebih 120 yang lain cedera.

Para penyokong bersurai dari tempat perhimpunan mereka di Rumah Kerajaan pada 14 April tetapi kerajaan sehingga kini masih belum menarik balik perintah darurat.

Ditanya mengenai Thaksin dan dakwaan pemimpin kumpulan berbaju merah kepada media asing bahawa beberapa penyokong mereka terbunuh semasa pertempuran dengan pasukan tentera, Abhisit berkata itu adalah tidak benar dan kerajaan akan terus menjelaskan tentang keadaan sebenar kepada dunia luar.

Meskipun suasana tenang dan jumlah anggota tentera yang berkawal di jalan-jalan raya lebih kecil, kerajaan tidak mahu mengambil sebarang risiko berikutan cubaan membunuh hartawan media Sondhi Limthongkul pada Jumaat lepas.

Pemimpin Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) merupakan tokoh utama gerakan penyingkiran Thaksin pada Sept, 2006, dan dua lagi bekas perdana menteri dikaitkan dengan beliau.

Abhisit, yang diserang dua kali oleh para penunjuk perasaan semasa kemuncak krisis berkenaan, telah mengambil beberapa inisiatif sejak tunjuk perasaan itu tamat bagi meredakan ketegangan termasuk mengadakan pembaharuan politik dan rancangan pengampunan ahli-ahli politik.

Satu daripada permintaan para penyokong Thaksin adalah pengampunan eksekutifeksekutif parti Thai Rak Thai dan People Power yang telah dibatalkan dengan para pemimpin mereka dilarang aktif politik selama lima tahun oleh Mahkamah Perlembagaan masing-masing pada 2007 dan 2008 berikutan penipuan dalam pilihan raya.

Kerajaan Thailand juga memberikan pinjaman Bt15 bilion bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk ekoran krisis politik yang berlanjutan berbulanbulan.

Menurut Persekutuan Industri-industri Thailand (FTI), pendapatan pelancongan boleh jatuh 30 peratus dan pelaburan asing kepada 20 peratus dalam tempoh suku tahun kedua berikutan krisis itu manakala jumlah pelancongan diramal turun kepada 11 juta daripada yang disasarkan sebanyak 14 juta. BERNAMA

Artikel Lain