suria

Pesakit temui ajal dalam ambulans di perkarangan hospital, trak pikap halang laluan

Pemilik trak pikap itu didakwa menghalang ambulans ketika proses memindakan pesakit ke sebuah hospital lain.

PIHAK pengurusan sebuah hospital mengesahkan seorang pesakit meninggal dunia selepas ambulans yang membawanya dihalang oleh sebuah trak pikap.

Pesakit yang mengalami serangan jantung dan kegagalan pernafasan itu pada awalnya dimasukkan ke Hospital Phlai Praya, Krabi, Thailand pada 16 Oktober.

Pada malam hari yang sama, doktor memutuskan untuk memindahkan pesakit yang kritikal itu ke Hospital Krabi untuk rawatan selanjutnya.

Namun, ambulans yang sepatutnya memindahkan pesakit itu gagal keluar dari kawasan hospital selepas dihalang oleh sebuah trak pikap. 

Ketua jururawat kemudian meminta pemilik trak itu mengalihkan kenderaannya, tetapi berlaku kekecohan antara mereka di perkarangan hospital.

Kelewatan itu menyebabkan pesakit berkenaan meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke Hospital Krabi.

Berdasarkan siasatan, pemilik trak pikap itu datang ke hospital untuk membawa ibunya yang hanya mengalami sakit kepala.

Dalam satu kejadian berasingan sebelum ini, seorang pesakit lambat menerima rawatan selepas ambulans yang membawanya dihalang oleh sebuah teksi di Phuket.

Dua kejadian itu mencetuskan kemarahan netizen terhadap sikap segelintir pemandu yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab. -Agensi

Artikel Lain