GLOBAL Sumud Flotilla kini semakin hampir ke Gaza meskipun berdepan ancaman keras Israel yang berikrar akan menghalang misi berkenaan.
Armada kapal bantuan yang membawa aktivis antarabangsa, termasuk Greta Thunberg, dilaporkan sudah memasuki kawasan berisiko tinggi sejauh 150 batu nautika (278 kilometer) dari Gaza.
Ia merupakan lokasi di mana beberapa flotilla terdahulu pernah diserang atau dipintas tentera laut Israel.
Menurut kenyataan penganjur, rakaman siaran langsung kini dijalankan sepanjang pelayaran sebagai langkah keselamatan kepada sukarelawan di atas kapal.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Malam yang cukup panjang” - Konvoi Global Sumud Flotilla dihujani serangan sekurang-kurangnya 10 dron Israel
ARTIKEL BERKAITAN: Misi Global Sumud Flotilla dalam fasa penting... Ini 13 trivia mengenai bantuan kemanusiaan ke Gaza
Tuntutan agar misi ini dibiarkan selamat sampai turut disuarakan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese, serta Presiden Colombia, Gustavo Petro.
Difahamkan, kapal-kapal dari Sepanyol dan Itali turut mengiringi flotilla itu di perairan antarabangsa bagi memastikan laluan lebih selamat, manakala dron dari Turkiye dikesan berlegar di udara dipercayai untuk memantau sebarang kemungkinan serangan.
Israel pula menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan flotilla tersebut menembusi apa yang mereka dakwa sebagai 'sekatan laut yang sah.
Namun, menurut pakar undang-undang antarabangsa, misi kemanusiaan seharusnya dibenarkan meneruskan perjalanan tanpa halangan. -Agensi


