SEORANG bayi berusia setahun yang ditemukan mati di dalam almari sebuah bilik sewa tidak menjalani proses bedah siasat kerana keluarganya tidak mampu menanggung kos prosedur tersebut.
Mangsa dikenali sebagai Syifa ditemukan dalam keadaan tragis yang mana badannya dikerat, namun kos bedah siasat tetap dibebankan kepada keluarga walaupun kes tersebut masih dalam siasatan polis.
Bapa saudara mangsa, Moh Rofiq, 54, memaklumkan pihak keluarga dipanggil ke Balai Polis Kangean, Jawa Timur, Indonesia pada Rabu untuk membincangkan perkara itu.
Menurutnya, keluarga sepakat menolak bedah siasat kerana tidak berupaya menyediakan dana bagi membawa pasukan forensik ke lokasi.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] 2 bayi dalam wad digigit tikus, seorang meninggal dunia... Jururawat digantung tugas
Bagaimanapun, keluarga menegaskan mereka tidak pernah dimaklumkan jumlah kos yang perlu ditanggung.
Segala perincian dikatakan ditentukan pihak polis dan turut dinyatakan dalam surat pernyataan yang ditandatangani di balai polis.
Rofiq menambah, keluarga sebenarnya berharap bedah siasat dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian Syifa.
Namun, polis berpendapat laporan pemeriksaan perubatan sudah mencukupi untuk tujuan siasatan, seperti yang turut direkodkan dalam surat pernyataan.
Siasatan kini memberi tumpuan kepada ibu mangsa, yang masih belum diketahui keberadaannya.
Untuk rekod, mayat bayi itu ditemukan mati pada Isnin. -Agensi


