suria

Dapat markah ‘D’ bagi semua subjek! Universiti gagalkan 6 mahasiswa hina kematian pelajar jatuh bangunan

Foto enam pelajar yang dikenakan tindakan disiplin oleh pihak universiti.

ENAM pelajar yang menghina kematian seorang mahasiswa menerima padah apabila mereka dikenakan tindakan disiplin oleh pihak universiti.

Siswa siswi Universiti Udayana (Unud), Bali, Indonesia itu diberi markah ‘D’ atau gagal untuk semua mata pelajaran yang sedang diikuti mereka.

Mereka dikenal pasti sebagai Leonardo Jonathan Handika Putra, Maria Victoria Viyata Mayos, Muhammad Riyadh Alvitto Satriyaji Pratama, Anak Agung Ngurah Nanda Budiadnyana, Vito Simanungkalit dan Putu Ryan Abel Perdana Tirta.

Sebelum ini, tular tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp yang memaparkan komen tanpa empati daripada enam pelajar berkenaan.

Menerusi perbualan itu, mereka didakwa menghina seorang mahasiswa, Timothy Anugerah Saputra yang ditemukan meninggal dunia pada pagi Rabu lalu.

Timothy, pelajar semester tujuh jurusan Sosiologi, terjatuh dari tingkat empat bangunan dan dipercayai mengakhiri hidupnya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Luaran nampak gembira, tapi hakikatnya jiwa kacau... Kenali ciri-ciri orang nak bunuh diri, boleh cegah sebelum terlambat

Menurut pihak universiti, Timothy sememangnya mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.

Pengurusan tertinggi universiti itu mengecam tindakan enam mahasiswa terbabit yang memperlekeh perbuatan bunuh diri.

Timbalan Dekan III FISIP Unud, I Made Anom Wiranata berkata enam pelaku juga sebenarnya tidak mengenali Timothy semasa dia masih hidup.

"Timothy bukan rakan sekelas mereka. Mereka sebenarnya tidak saling mengenali,” kata I Made.

Tambahnya, tindakan keji mereka menunjukkan kurangnya empati dalam kalangan mahasiswa terhadap isu kesihatan mental.

Sebagai peringatan, perbuatan bunuh diri adalah berdosa dalam Islam dan semua pihak perlu menjauhinya. -Agensi

 

Artikel Lain