suria

Pekatnya sambal tumis telur goreng, sungguh menggoda

Pekatnya sambal tumis telur rebus goreng, betul-betul buat kita lapar!

MASAKAN sambal pasti menjadi pilihan utama untuk penggemar tegar sambal tumis. Tak perlu pening-pening nak fikir menu apa nak masak untuk berbuka hari ini, resipi Sambal Tumis Telur Rebus Goreng dah tersedia untuk anda.

Jom kita cuba resipi daripada air tangan Adnilsam Apat ini!

Bahan-bahan:

7 biji telur (direbus dan kupas kulitnya)

Minyak masak

1 sudu kecil pes asam jawa adabi

1 sudu besar sos tiram

1 sudu besar sos tomato

1 labu bawang besar - dimayang bulat

Garam secukup rasa

Gula secukup rasa

Serbuk Ajinomoto- (pilihan)

Air secukupnya

Bahan-bahan kisar/tumbuk halus:

7 ulas bawang merah

1 ulas bawang putih

1 keping hirisan halia (sikit je ye)

Sedikit belacan

11 tangkai cili kering - (dikerat, direbus hingga lembut, cuci dan seterusnya ditoskan)

3 tangkai cili merah

Cara-cara:

Rebus telur hingga masak sempurna dan kupas kulitnya. Kemudian goreng telur rebus hingga berubah kepada warna agak keperangan, angkat dan toskan.

Panaskan minyak dalam kuali dengan api yang sederhana panas.

Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar, kemudian masukkan gula pada peringkat awal supaya warna sambal akan cantik dan gelap sedikit.

Tumiskan sehingga pecah minyak kemudian kecilkan api.

Renihkan secara perlahan sehingga sambal kelihatan garing dan warna lebih gelap.

Seterusnya masukkan air serta asam jawa dan bawang besar yang dihiris bulat. Teruskan memasak sehingga kuah sambal menjadi agak pekat.

Perasakan dengan garam, sos tiram, sos tomato dan serbuk ajinomoto. Kacau seketika dan sesuaikan rasa mengikut citarasa anda.

Masukkan telur rebus yang telah digoreng tadi ke dalam sambal tumis dan gaul hingga sambal bersalut dengan telur.

*Boleh hidangkan bersama menu pilihan lain.

Artikel Lain