KEINGINAN memiliki kereta baharu sering menjadi impian ramai, terutama golongan yang sudah mempunyai pendapatan stabil.Namun bagi seorang usahawan, Naqiu Azman, dia memilih untuk menangguhkan hasrat tersebut selepas membuat pertimbangan daripada sudut kewangan dan pelaburan jangka panjang. Menerusi perkongsian di Threads, Naqiu berkata dia pada awalnya bercadang membeli kereta baharu bernilai sekitar RM80,000 menerusi pinjaman selama lima tahun.Naqiu memilih membuka kedai dobi bagi menjana pendapatan kedua. Bagaimanapun, selepas membuat kira-kira, dia merasakan jumlah sama boleh dimanfaatkan untuk membuka perniagaan dobi layan diri yang berpotensi menjana pendapatan pasif."Aku dah buat kira-kira. Ingat nak beli kereta baharu RM80,000 dengan hutang lima tahun. Tapi baik aku ambil pinjaman perniagaan RM80,000 dan buka dobi layan diri."Biar perniagaan itu berjalan sendiri dan menjadi pendapatan pasif," katanya.Menurut Naqiu, antara perkara yang perlu diterima pada masa kini ialah nilai sesebuah kereta akan menyusut sebaik sahaja ia dibeli.Katanya, kereta yang dibeli pada harga RM80,000 mungkin hanya mempunyai nilai pasaran sekitar RM40,000 hingga RM60,000 selepas digunakan."Dulu mungkin ada rasa istimewa apabila beli kereta baharu, tapi sekarang pilihan terlalu banyak."Sebab itu aku nak ubah cara berfikir dalam membeli kereta. Kalau boleh, beli secara tunai," katanya.Pendapatan keduaTambahnya, pelbagai kemudahan pembiayaan dan bantuan perniagaan kini tersedia untuk mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan.Menurutnya, terdapat bank yang menawarkan pinjaman peribadi atau pinjaman perniagaan dengan kadar kompetitif selain kewujudan geran dan insentif tertentu untuk perniagaan.Naqiu berkata, fokus utamanya bukanlah keuntungan besar dalam tempoh singkat, sebaliknya membina aliran tunai tambahan yang mampu menjadi sumber pendapatan kedua."Sikit atau banyak untung itu aku tak kisah sangat. Yang penting cashflow dan ia capai matlamat sebagai pendapatan kedua."Paling penting, dobi itu menjadi aset milik aku sepenuhnya. Kalau nak jual perniagaan atau mesin pada masa depan pun masih ada nilainya," jelasnya.Dalam masa sama, Naqiu mengakui keputusan tersebut turut dipengaruhi oleh hakikat bahawa dia sudah memiliki kenderaan dan keinginan untuk menaik taraf hanyalah kerana minat terhadap kereta."Biasalah lelaki, kadang-kadang gatal nak membeli dan upgrade. Jadi modal terbesar aku sekarang ialah sabar sedikit," katanya.Naqiu turut berpandangan bahawa membeli kenderaan terpakai atau kereta yang lebih mampu milik secara tunai mungkin lebih berbaloi kerana kadar susut nilainya lebih perlahan berbanding kereta baharu.Dia juga mengakui satu perkara yang sedikit dikesalkannya adalah kerana tidak memulakan langkah membina aset lebih awal."Cuma ada satu yang aku kesal sikit, sebab aku tak mula lebih awal. Kadang-kadang terfikir juga, kalaulah aku tahu perkara ini lebih awal," katanya.