Belanja sanak saudara dan rakan menggunakan hasil premis juga antara punca kebocoran yang tidak disedari. -Gambar hiasan AI
RAMAI pemilik kedai makan sebenarnya tidak mengetahui keuntungan sebenar perniagaan mereka kerana gagal mengesan beberapa kos tersembunyi setiap bulan.Perunding Pemasaran dan F&B (Makanan dan Minuman), Najmi Nasrudin mendedahkan, hasil audit yang dilakukan terhadap sebuah premis milik usahawan tempatan mendapati restoran tersebut menyangka mencatat keuntungan RM15,000 sebulan. Bagaimanapun selepas semakan terperinci dibuat, keuntungan sebenar yang direkodkan hanyalah sekitar RM4,000 sahaja."Angka itu sekali gus menunjukkan terdapat kebocoran kewangan sebanyak RM11,000 setiap bulan," katanya di Threads.Kata Najmi, situasi tersebut bukan kes terpencil kerana lima jenis kos tersembunyi sama sering ditemui di kebanyakan premis makanan yang diaudit.Komisen platform penghantaran makanan menyebabkan margin keuntungan menjadi lebih rendah. -Gambar hiasan AI1. Pembaziran makanan tidak direkodkanNajmi menjelaskan ramai pemilik premis menganggap makanan yang rosak atau tidak terjual sebagai perkara biasa dan tidak direkodkan.Menurutnya, pembaziran makanan boleh mencecah antara 10 hingga 15 peratus daripada jumlah jualan bulanan.Sebagai contoh, premis yang mencatat jualan RM60,000 sebulan berpotensi kehilangan RM7,200 setiap bulan atau RM86,400 setahun akibat pembaziran makanan.Beliau mencadangkan pemilik perniagaan menyediakan rekod harian pembaziran makanan bagi mengenal pasti corak kerugian dan mengambil tindakan pembetulan.2. Kos pekerja yang tidak dikira sepenuhnyaSelain gaji asas, terdapat pelbagai kos lain yang sering terlepas pandang seperti bayaran kerja lebih masa secara tunai, makanan pekerja, bonus harian serta cuti bergaji.Katanya, kos sebenar tenaga kerja lazimnya berada lima hingga lapan peratus lebih tinggi berbanding kiraan berdasarkan gaji asas semata-mata.3. Komisen platform penghantaran makananNajmi turut menegaskan ramai pemilik premis menganggap komisen yang dikenakan platform penghantaran makanan sebagai kos pemasaran biasa.Bagaimanapun, beliau berkata komisen antara 25 hingga 35 peratus menyebabkan margin keuntungan menjadi jauh lebih rendah berbanding pesanan yang diterima secara terus daripada pelanggan.Menurutnya, pesanan melalui platform lazimnya hanya memberikan margin keuntungan sekitar lima hingga 10 peratus, manakala pesanan terus boleh menjana margin sehingga 30 peratus.4. Kehilangan stok akibat pengurusan inventori lemahBeliau berkata masalah kehilangan stok sering berlaku tanpa disedari kerana ketiadaan sistem inventori yang teratur.Situasi seperti stok tidak direkodkan, kesilapan kemas kini atau ketidakpadanan data boleh menyebabkan kebocoran antara lima hingga 10 peratus daripada nilai inventori setiap bulan.Najmi menjelaskan kebanyakan kes bukan berpunca daripada kecurian, sebaliknya kelemahan dalam pengurusan stok.5. Perbelanjaan peribadi menggunakan wang perniagaanMenurutnya, ramai pemilik perniagaan menggunakan wang tunai syarikat untuk menampung perbelanjaan harian seperti makan bersama keluarga, mengisi minyak kenderaan atau membayar bil rumah.Walaupun dianggap kecil, perbelanjaan seperti itu boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan dan menjejaskan gambaran sebenar prestasi kewangan syarikat.Beliau menasihatkan pemilik perniagaan menetapkan jumlah gaji atau elaun tetap untuk diri sendiri bagi mengelakkan percampuran antara kewangan peribadi dan perniagaan.Najmi berkata kelima-lima faktor tersebut mungkin kelihatan kecil secara individu, namun apabila digabungkan boleh menyebabkan kebocoran sehingga 25 hingga 35 peratus daripada hasil jualan bulanan.Katanya, pemilik premis yang mula memantau dan merekodkan kos-kos tersebut lazimnya mampu menjimatkan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan tanpa perlu meningkatkan jualan atau membuat perubahan besar terhadap operasi perniagaan.