suria

Bukan sembang biasa, pereka fesyen terkenal Giuseppe Zanotti lakar kasut kahwin Neelofa ketika IG Live

Pereka kasut terkenal, Giuseppe Zanotti melakar kasut perkahwinan untuk Neelofa ketika muncul dalam Instagram Live bersama selebriti popular itu.

SEBELUM ini Neelofa pernah membuat video siaran langsung bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Instagram dan kali ini personaliti dan usahawan fesyen popular ini muncul bersama pereka kasut terkenal dunia, Giuseppe Zanotti.

Meskipun berada dalam zon masa berbeza, Neelofa dan Giuseppe tetap meluangkan masa bersama untuk membincangkan topik berkaitan fesyen.

ARTIKEL BERKAITAN: Curi perhatian di Minggu Fesyen Milan, ini 5 gaya pilihan Neelofa

Selain itu, Giuseppe turut menyentuh mengenai sambutan Ramadan dan kesan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

"Seronok dapat bertemu dengan anda. Saya sedar Malaysia sedang menyambut bulan Ramadan sekarang. Saya berharap agar semuanya berada dalam keadaan baik dan mendapat Ramadan yang diberikati," katanya kepada Neelofa membuka bicara.



Sebelum ini Neelofa dan Giuseppe pernah bekerjasama menghasilkan koleksi kasut.

Pernah berkolaborasi dengan Neelofa untuk menghasilkan koleksi kasut, Giuseppe turut menamakan kerjasama bersama penyanyi terkenal seperti Jenifer Lopez, Rita Ora dan Kanye West sebagai kegemarannya.

Dalam rancak berbual mengenai hal-hal berkaitan fesyen dan rekaan kasut, Giuseppe secara spontan melakar rekaan kasut perkahwinan untuk Neelofa.

Menerusi perbualan video itu, Giuseppe turut berkongsi kisah permulaannya dalam bidang pembuatan kasut selain ibunya menjadi pendorong kejayaannya pada hari ini.

Ceritanya, minatnya terhadap kasut bermula apabila dia melihat seorang wanita yang mengenakan pakaian menawan dengan kasut hodoh di kakinya.

"Ibu saya seorang tukang jahit... saya selalu melihat pelanggan wanita mencuba pakaian di rumah namun pada suatu hari, saya melihat seorang wanita menyarung kasut hodoh ketika mencuba baju jahitan ibu saya yang cantik.



Pelbagai perkara yang dikongsikan Neelofa bersama Giuseppe.

"Bertitik tolak dari situ, saya mula berimaginasi sesuatu yang luar biasa. Saya rasa, saya mewarisi perasaan sensitif apabila melihat sesuatu daripada ibu saya," katanya.

Sementara itu, menerusi siaran langsung tersebut, Neelofa turut bertanya kepada Giuseppe bagaimana beliau dapat kekal kreatif dalam situasi ketika ini yang kebanyakan negara sedang mengamalkan perintah kawalan pergerakan dan penjarakkan sosial.

Giuseppe memberitahu beliau akan sentiasa memastikan berhubung dengan pasukannya menerusi Facetime, Zoom dan Skype yang sudah menjadi rutin hariannya ketika ini.

Malah beliau memberitahu, ketika ini mereka sedang menghasilkan koleksi SS21 yang disifatkan sebagai lebih terperinci dan fokus.

"Bekerja adalah eskapisme saya sepanjang tempoh ini. Ia membenarkan saya untuk bermimpi dan memberi perhatian serta fokus terhadap kecantikan.

"Sejujurnya situasi sekarang ini memperlahankan segala hal, kurangnya kekeliruan, banyak kesunyian dan saya mempunyai masa untuk bermuhasabah.

"Tempoh ini juga memberikan saya peluang untuk berhubung dengan diri sendiri sehingga mencetuskan kreaitivi," ujarnya.

Selain kasut, mogul berusia 63 tahun itu turut aktif mereka beg tangan dan barangan kemas dan jenamanya itu dihasilkan menerusi syarikatnya, Vicini S.P.A dan diedarkan di 75 buah negara.

Artikel Lain