suria

Dari hujung rambut ke hujung kaki, Siti Khadijah luaskan empayar perkenal koleksi nostalgia raya

Koleksi #nostalgiaraya daripada Siti Khadijah.

JENAMA Siti Khadijah (SK) yang terkenal dengan pengeluaran telekung mengorak langkah apabila membuka butik gaya hidup pertamanya di pusat beli-belah Suria KLCC yang merangkumi pelbagai produk dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Ini termasuklah pakaian lelaki dan wanita, kasut, tudung serta aksesori. Tidak ketinggalan, telekung yang menjadi signature Siti Khadijah tetapi di butik SK KLCC hanya beberapa rekaan ekselusif akan dijual.

Bagi koleksi pakaian, terdapat pelbagai pilihan seperti kemeja lelaki, blaus wanita, kasut wanita, baju tradisional seperti kurung kedah, kebarung, kurung Pahang, baju Melayu serta pelbagai koleksi tudung dibawah jenama Hegira.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom check out koleksi pakaian bukan sahaja patuh syariah tapi cukup bergaya!

Tidak cukup dengan itu, di butik sama turut dijual produk penjagaan diri seperti mandian, syampu dan pewangi.

Butik gaya hidup Siti Khadijah kini dibuka di Suria KLCC.

Buat pertama kali juga SK melancarkan koleksi #nostalgiaraya Siti Khadijah 2020 yang diinspirasikan dari kenangan zaman kanak-kanak yang pasti menggamit memori.

Malah setiap koleksi itu juga dipilih seiring dengan nama panggilan yang sering digunakan dalam keluarga di Malaysia seperti baju kurung kak long, kak lang, kak teh, kak cik dan baju Melayu Osman.

Pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman berkata, butik gaya hidup itu diilhamkan daripada keinginannya mengekalkan identiti warisan nusantara namun diberi suntikan moden dan mengikut trend semasa.

Sesuai dengan konsep itu, pihaknya memilih Suria KLCC sebagai lokasi pertama pembukaan butik gaya hidup SK ditambah kedudukannya sebagai mercu tanda Malaysia yang ikonik.

"Butik ini bakal menawarkan pengalaman beli-belah yang unik kepada pelanggan menerusi konsep pakaian selesa tetapi tetap mengutamakan elemen kesopanan.

"Identiti warisan nusantara juga dikekalkan dalam setiap rekaan tetapi diberi sentuhan moden serta tidak berkompromi tentang kualiti," ujarnya.

Siti Khadijah, Telekung, Suria KLCC, SK

Artikel Lain