Bergaya guna barang jenama mahal tapi 'preloved'... Memalukan atau pilihan bijak? - Mode | mStar

Bergaya guna barang jenama mahal tapi 'preloved'... Memalukan atau pilihan bijak?

Barangan preloved mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri. -foto THESTAR

SEBUT sahaja perkataan preloved, pasti ada dalam kalangan kita yang menganggap ia sama dengan barangan bundle atau barang terpakai (2nd hand).

Namun, adakah betul tafsiran itu? Ia sememangnya kurang tepat kerana kebanyakan barangan preloved sebenarnya lebih berkualiti, malah ia juga tidak jauh berbeza dengan kondisi item asal kerana ia pernah menjadi kesayangan tuannya sebelum ini.

Apa yang menguntungkan jika membeli barangan preloved? Sudah tentu aspek harga menjadi faktor utama.

Dengan membeli barangan preloved, anda dapat memiliki barangan asli (original), biasanya berjenama terkenal dan mahal harganya yang berkemungkinan besar dijaga dengan baik atau baru digunakan beberapa kali oleh pemilik asal.

Malah, tidak mustahil juga anda akan menemui model-model edisi terhad atau edisi istimewa yang sudah tidak dijual di butik lagi ketika sedang membelinya.

Syazwan Abu Bakar.

Pengasas bersama Babra & Co, Syazwan Abu Bakar, 26, berkata walaupun kumpulan barangan ini mempunyai keistimewaan tersendiri, masih wujudnya persepsi yang menyamakan barangan preloved dengan bundle, menyebabkan mereka malu untuk membeli, malah ada juga memandang serong terhadap si pemakainya.

Mengulas tanggapan itu, dia berkata barangan preloved tidak wajar diletakkan sama taraf dengan barang bundle kerana ia nyata mempunyai banyak perbezaan dari segi harga, kualiti, penjagaan dan latar belakang terdahulu sebelum ia berpindah milik kepada pemilik baharu.

"Di sini misalnya, selain item yang kita cari sendiri di dalam dan luar negara, kita juga menerima barangan yang mahu dijual oleh pemilik asal dengan syarat kualitinya masih elok. Item itu akan diperiksa dengan teliti oleh pasukan kami untuk menentukan kualiti, tahap kerosakan dan nilai harga baharu.

"Berbeza dengan bundle, biasanya pengusaha akan akan beli secara borong, selonggok dalam guni, jadi kualitinya pun kurang elok dan dijual murah," katanya ketika ditemuramah mStar Online di butiknya yang terletak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mereka yang bijak pastinya akan memilih barangan preloved kerana harganya yang murah namun kualitinya setanding barang asal.

Dari segi harga, Syazwan berkata sudah tentu ia dijual pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga asal, sekali gus menyebabkan ia mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.

Menurut Syazwan, kebiasaannya, barangan preloved tidak mempunyai banyak kerosakan, malah ada yang nampak seakan-akan baharu dibeli. Jika mempunyai kerosakan, ia akan diperbaiki terlebih dahulu sebelum dijual semula kepada pelanggan.

Kerosakan minor bukanlah satu masalah untuk barangan preloved kerana ia masih boleh diperbaiki.

Syazwan mendedahkan pihaknya turut mempunyai pelanggan dalam kalangan artis dan VIP, secara tidak langsung membuktikan bahawa pengguna barangan preloved tidak terhad kepada golongan biasa sahaja, sebaliknya terdiri daripada mereka yang mempunyai pandangan, penilaian dan prinsip sendiri apabila berbelanja untuk bergaya.

"Barang preloved ni sesuai untuk semua golongan, kadang-kadang orang biasa segan nak masuk butik mewah, tapi situasinya berbeza di sini sebab semua pelanggan dilayan sama rata.

"Selain orang biasa, Datuk, Datin, artis pun ramai gunakannya. Tapi mereka biasanya tak datang ke butik sebaliknya kami yang akan pergi kepada mereka atau mereka beli 'online'.

"Secara keseluruhannya, kita ada pelbagai lapisan pelanggan termasuklah dari luar negara seperti Brunei, Indonesia, Australia, Singapura dan banyak lagi," ujar Syazwan.

Antara pelanggan yang datang untuk mendapatkan barangan preloved di butik ini.

Mengulas mengenai sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap perniagaan barangan jenis ini, Syazwan berkata ia masih belum menjadi satu industri seperti negara Jepun dan China tetapi menunjukkan perkembangan positif apabila ramai yang sudah pandai membuat penilaian dan perbandingan.

Jelasnya, dalam memilih barangan untuk bergaya, adalah lebih wajar berpegang kepada prinsip 'ukur baju di badan sendiri' yang mana individu yang gemar membeli barangan mahal lebih cenderung kepada mereka yang berkemampuan dan mahu menikmati kepuasan tersendiri.

Berbeza dengan kumpulan yang tidak kisah memakai item preloved, golongan ini mungkin mempunyai alasan tersendiri termasuklah tidak mahu membazir wang atau kurang berkemampuan, tetapi akhirnya masih mampu 'merasa' melaram dengannya.

"Dah ramai pelanggan yang pandai, cuma kadang-kadang barang-barang ni tak ada kotak atau beg macam beli di butik... tapi bila fikirkan balik, masa pakai nak bawa kotak ke?.

"Sebenarnya menggayakan barang mahal ni adalah semata-mata untuk kepuasan sendiri, kalau mampu apa salahnya, tapi kalau kurang mampu atau tak mahu bazir duit, preloved ada pilihan bijak," katanya.

Setakat ini outlet ini menjual item preloved berjenama Louis Vuitton & MCM serta beberapa jenama lain.

Antara yang ditawarkan termasuklah beg galas, beg tangan, beg silang, beg duit, topi, tali pinggang dan macam-macam lagi.

barang preloved , murah , bundle , jenama

Artikel Lain