suria

‘Le Chiquito’ beg saiz tapak tangan bayi cecah ribuan ringgit! Anda sanggup beli?

Menjadi trend terbaharu golongan wanita menggayakan beg tangan sekecil ini... Harganya bukan muruah ya! FOTO: AFP

BAGI kebanyakan wanita, beg tangan merupakan aksesori pelengkap gaya yang wajib untuk dimiliki.

Fikir sahaja mengenainya, mulalah terbayang rekaan-rekaan menawan dan mewah seperti keluaran Louis Vuitton, Chanel, Hermes, Marc Jacobs mahupun Bijan yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu.

Pada kebiasaannya, wanita memilih beg tangan yang bersesuaian agar mereka dapat membawa barangan penting dengan mudah di dalamnya.

Namun, satu jenama dari Perancis, Jacquemus' tampil dengan rekaan berbeza apabila mereka memperkenalkan beg tangan yang mungkin tidak sesuai untuk penggunaan harian, namun sekadar pelengkap gaya sahaja.

Kecil tapi menawan.

Beg tangan yang turut digelar sebagai 'beg jari' itu memiliki saiz yang sangat kecil, malah belum tentu ia mampu untuk memuatkan sebuah telefon pintar di dalamnya. Ia seperti saiz tapak tangan bayi.

Kekurangan dari segi ruangan dan saiz itu langsung tidak membawa sebarang masalah, sebaliknya ia pantas menjadi ikutan ramai wanita di peringkat global.

Antara selebriti yang pernah menggayakan beg bersaiz kecil itu termasuklah Rihanna, Kim Kardashian dan Dua Lipa.

Untuk keluaran jenama Jacquemus', beg yang digelar sebagai Le Chiquito itu dijual pada harga AS$500 (RM2,046).

Beg ini dilaporkan sudah terjual puluhan ribu unit sejak diperkenalkan tahun lalu.

Biarpun kecil, item tidak masuk akal itu sudahpun terjual puluhan ribu unit di seluruh dunia, lapor majalah Cosmopolitan.

Disifatkan ramai sebagai 'mengarut tetapi menarik', ia dijangka akan menjadi obsesi baharu dalam kalangan penggemar fesyen di seluruh dunia.

Sejak dipamerkan buat pertama kali sewaktu Minggu Fesyen Paris, pengasas Jacquemus', Simon Porte mula menjadi sebutan ramai.

Sebelum tampil dengan rekaan mini itu, pereka berusia 29 tahun itu pernah menghasilkan beg tote, beg bahu dan beberapa jenis beg lain bersama rangkaian koleksi Le Mini Chiquito.

Dua Lipa  (kiri) dan Rihanna (kanan) tampil bergaya dengan beg mini berwarna kuning.

Jadi, kepada penggemar fesyen di Malaysia, adakah anda sudah bersedia untuk membawa trend ini menjadi ikutan ramai di negara kita?

Sanggupkan anda berbelanja lebih RM2,000 untuk satu item bersaiz mini itu? Tepuk dada, tanya selera.

Beg Mini, Jacquemus', Rihanna, Dua Lipa

Artikel Berkaitan

Artikel Lain